
Beliau yakin Zii Jia tidak berniat menghina negara, namun menggesa pengurus dan atlet lain mengambil serius isu itu bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
“Buat masa sekarang, isu Zii Jia seperti yang saya katakan permohonan maaf telah dikeluarkan Victor. Saya belum semak (jika Zii Jia dan pasukannya membuat permohonan maaf) sejak kejadian itu dan bagi saya, buat masa ini ia telah memadai.
“Majlis Sukan Negara ditugaskan untuk menyiasat perkara ini dan menyediakan draf untuk saya lihat dan kami akan maklumkan (garis panduan bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang),” katanya selepas sidang media dana sukan Kementerian Belia dan Sukan 2025 di sini.
Sementara itu, Yeoh mendedahkan pasukan LZJ sedang menantikan pertemuan dengan beliau berhubung program Road to Gold yang dijadual diadakan bulan depan.
Zii Jia menjadi tumpuan kontroversi kerana memakai jersi dengan bendera Malaysia dijahit terbalik ketika beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia di Hangzhou, China baru-baru ini.
Ditanya pertemuannya dengan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, Yeoh berkata, ia mungkin diadakan tahun depan memandangkan semua orang sedang berehat.
Sebelum ini, MSN memberi tempoh hingga 31 Dis ini kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia untuk mengesahkan penyertaan Azizulhasni dalam Program Podium tahun depan.