Anak lelaki Asaari, isteri didakwa cuba hina Islam

Anak lelaki Asaari, isteri didakwa cuba hina Islam

Pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan memiliki tiga penerbitan difatwakan haram.

mahkamah
Muhammad ‘Athoullah Ashaari dan isteri Ummu Habibah Raihan didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka kerana memiliki dan menyimpan buku berjudul ‘Politik Islam Membawa Kasih Sayang’ dan ‘Pendidikan Rasulullah’ serta satu bingkai bergambar Asaari Muhammad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Anak lelaki pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas tuduhan cuba dan bersubahat menghina Islam dengan memiliki tiga penerbitan difatwakan haram oleh mufti Melaka, September lalu.

Muhammad ‘Athoullah Asaari, 39 dan isteri, Ummu Habibah Raihan, 41, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Yunus Mohamad Zin, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, ‘Athoullah didapati memiliki buku berjudul ‘Politik Islam Membawa Kasih Sayang’ dan ‘Pendidikan Rasulullah’ serta satu bingkai bergambar Asaari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 63 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka (1991) iaitu cuba menghina Islam dengan cara menghina fatwa dikeluarkan mufti melalui warta bertarikh 11 Ogos 1994 dan 2 Ogos 2007.

Ummu Habibah pula didakwa bersubahat dengan kesalahan dilakukan ‘Athoullah apabila menyimpan bahan penerbitan berkenaan dan didakwa mengikut Seksyen 37 Enakmen Kesalahan Syariah Melaka (1991) yang dibaca bersama Seksyen 63 enakmen sama.

Pasangan terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, pada jam 1.15 tengah hari, 21 Sept lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara maksimum 36 bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 13 Feb depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Atras Mohamad Zin manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Hafizuddin Ahmad Mispha dan Mohd Faizal Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.