Pihak berkuasa siasat dakwaan profesor kongsi gambar bogel dengan pelajar

Pihak berkuasa siasat dakwaan profesor kongsi gambar bogel dengan pelajar

UM sah terima laporan, tetapi tidak dapat ulas kes dalam siasatan.

UM berkata, pihaknya sedia memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung dakwaan seorang profesor melakukan gangguan seksual terhadap pelajar.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan seorang profesor Universiti Malaya (UM) berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar dan melakukan gangguan seksual.

Universiti itu mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan tersebut tetapi tidak dapat mengulas kerana kes telah dirujuk kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“UM akan terus memantau perkembangan ini dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkenaan bagi memastikan isu ini ditangani dengan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Gambar-gambar bogel yang didakwa dikongsi profesor itu dikatakan dipaparkan di sekitar kampus UM untuk memberi amaran kepada pelajar, tetapi segera diturunkan.

Semalam, sebuah kumpulan pelajar UM menggesa mangsa yang mendakwa diganggu agar membuat laporan polis supaya siasatan dapat dimulakan.

Secara berasingan, Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) menggesa pihak universiti agar segera menjalankan siasatan dalaman yang teliti dan telus berhubung dakwaan itu.

“Untuk menepis dakwaan ini dan menjaga keselamatan pelajar dan komuniti kampus kita, tindakan segera oleh pihak pengurusan universiti paling penting,” katanya dalam kenyataan.

“Sekiranya dakwaan itu tidak berasas, pihak pengurusan boleh menyangkalnya dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk meredakan keresahan dan kebimbangan warga kampus.”

Menurut persatuan itu, UM adalah antara universiti pertama di Malaysia yang mengamalkan dasar menangani gangguan seksual, dan sekiranya dasar ini hanya untuk tayangan, usaha dan advokasi yang dilakukan untuk melaksanakannya akan menjadi sia-sia.

Tambahnya, dakwaan itu adalah serius, memandangkan ia membabitkan dinamik kuasa yang tidak seimbang dalam hubungan antara profesor dan pelajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.