2 syarikat diarah henti melombong di Gua Musang

2 syarikat diarah henti melombong di Gua Musang

Menteri sumber asli dan kelestarian alam berkata pemantauan akan diteruskan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan mengikut Akta 127 akan diambil tindakan tegas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dua syarikat diarah menghentikan aktiviti perlombongan di Sungai Kelaik kerana dikhuatiri akan menyebabkan pencemaran sungai.
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengarahkan dua syarikat menghentikan aktiviti perlombongan di Sungai Kelaik, Gua Musang yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran sungai.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata arahan itu hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pematuhan dua syarikat terbabit mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Hasil siasatan mendapati Aqua Orion Sdn Bhd menjalankan aktiviti tanpa kelulusan di bawah subseksyen 34A(3) dan kertas siasatan akan dibuka di bawah subseksyen 34A(6).

“Bagi syarikat perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd), hasil siasatan mendapati ia tidak beroperasi di mana tiada sebarang kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut Akta 127 sekiranya penggerak projek gagal mematuhi syarat kelulusan laporan EIA bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar.

“JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan supaya menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada pihak Aqua Orion sehingga laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan.”

Beliau berkata, pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan mengikut Akta 127 akan diambil tindakan tegas.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara mandatori tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM100,000 serta tidak melebihi RM1 juta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.