Wanita bimbing ‘sampah kembali jadi manusia’ dari kehidupan gelap Chow Kit

Wanita bimbing ‘sampah kembali jadi manusia’ dari kehidupan gelap Chow Kit

Nor Akmar Ali menubuhkan pusat kebajikan sebagai persinggahan sementara gelandangan terdiri penagih dadah, pekerja seks dan transgender selain bantu mereka berubah.

Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh yang beroperasi di Chow Kit.
KUALA LUMPUR:
Berbekalkan tekad mahu membantu golongan dianggap ‘sampah masyarakat kembali menjadi manusia’, wanita cekal ini sanggup mendedikasikan dirinya di ‘lorong hanyir’ sekitar Chow Kit untuk membimbing mereka ke pangkal jalan.

Walaupun berdepan tanggapan masyarakat bahawa gelandangan terdiri penagih dadah, pekerja seks, transgender serta remaja jalanan itu tidak mampu berubah, Nor Akmar Ali, 52, percaya dan yakin ‘sinar’ masih ada buat mereka.

Nor Akmar Ali berkata impiannya hanya mahu melihat golongan ‘tersasar’ kembali ke pangkal jalan.

“Sebagai manusia, selagi peluang itu ada kita kena bantu,” katanya kepada FMT.

Menceritakan pengalamannya, ibu tiga anak itu berkata dia sudah sembilan tahun berkecimpung dalam dunia kesukarelawan dan kini berjaya membangunkan sebuah pusat sebagai persinggahan sementara kepada golongan terbabit.

Sejak dibuka pada 3 Jan lalu, Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh sudah membantu lebih 4,000 golongan rentan sekitar ibu kota dalam mendapatkan keperluan asas seperti tempat tinggal dan makanan.

Katanya, pusat itu dibuka hasil kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) selain dana daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Dulu saya bergerak secara ‘underground’ dan berjumpa mereka (gelandangan dan golongan kurang berkemampuan) di rumah-rumah, lorong-lorong atau tempat tertentu sekitar Chow Kit.

“Bermula dari jalanan saya akhirnya berjaya membangunkan pusat ini dengan bantuan pihak berkenaan,” katanya memaklumkan bilangan gelandangan di Chow Kit kini jauh berkurangan berbanding suatu masa dahulu berkat pelbagai projek dilaksanakan kerajaan dan NGO.

Dengan visi mahu ‘memanusiakan manusia’, Nor Akmar yang juga pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Ar-Riqab Kuala Lumpur berkata impiannya hanya mahu melihat golongan ‘tersasar’ itu kembali ke pangkal jalan dan memulakan kehidupan normal.

Penghuni menikmati juadah di Pusat Kebajikan dan Dakwah Singgah Teduh Nur Qaseh.

“Kita carikan pekerjaan, buat (mohon) kad pengenalan dan bantu uruskan proses untuk mereka mendapat bantuan. Walaupun orang kata mereka tak mampu berubah kita kena bantu,” katanya yang turut membesarkan dua anak angkat tidak mampu dijaga ibu kandung.

Nor Akmar berharap masyarakat tidak menghakimi dan membuang stigma negatif terhadap golongan terbabit kerana mereka wajar diberi peluang untuk berubah dan berhak menjalani kehidupan seperti insan lain.

Nor Akmar penyelamat

Sementara itu, wanita hanya mahu dikenali Anna, 46, bersyukur kerana bertemu Nor Akmar yang dianggap sebagai penyelamat selepas ditipu ejen menjanjikan pekerjaan kepadanya pada 2015.

Kesusahan dialami ketika awal penghijrahan memaksa Anna mengemis sumbangan wang daripada orang ramai di Chow Kit sebelum Nor Akmar hadir membawa ‘sinar’, dua tahun selepas menetap di ibu negara.

“Sebelum datang ke sini (Kuala Lumpur) saya tahu banyak aktiviti penagihan dadah dan pelacuran (di Chow Kit). Dua minggu saya tak keluar rumah kerana takut keadaan di sini,” katanya berasal dari Kelantan.

Hasil bantuan Nor Akmar, Anna yang menetap di sebuah flat berdekatan Chow Kit kini mengambil upah membasuh dan melipat baju untuk meneruskan kehidupan.

“Nor Akmar insan berhati mulia yang mendedikasikan hidupnya membantu mereka tidak berkemampuan tanpa kenal erti penat lelah,” kata ibu tunggal lima anak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.