Veteran Pasir Salak ikrar tawan semula pengundi PN

Veteran Pasir Salak ikrar tawan semula pengundi PN

Tajuddin Abdul Rahman sedia berdamai dengan pengkritik untuk menyatukan ahli, menawan pengundi, dan tebus kekalahan Umno.

Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman mahu tebus kekalahan Umno di Pasir Salak pada PRU15 di tangan PN, yang meraih majoriti selesa 5,003 undi.
PETALING JAYA:
Selepas kira-kira dua tahun menyaksikan dari tepian penyokong Barisan Nasional beralih kepada Perikatan Nasional, veteran politik Tajuddin Abdul Rahman berikrar untuk menawan semula hati pengundi di Parlimen Pasir Salak demi Umno menuju PRU16.

Bekas Ahli Parlimen tiga penggal itu, yang kali terakhir mewakili rakyat di situ pada PRU 2018, percaya beliau mampu meraih kembali kepercayaan sebahagian besar pengundi yang secara tradisi memilih Umno.

Tajuddin tidak bertanding pada PRU November 2022, yang berlaku selepas Umno menggantung keahliannya bermula September tahun sama.

“Saya yakin dan percaya dari Pasir Salak ini 70% pengundi Umno akan kembali bersama saya,” katanya kepada FMT, sekembali dari menjalani hukuman apabila Umno menarik balik penggantungan bulan lalu.

Tajuddin berkata beliau mahu menebus kekalahan Umno di Pasir Salak pada PRU lalu, yang menyaksikan calon PN meraih 24,897 undi berbanding calon pilihan BN (19,894), Pakatan Harapan (11,693), dan Pejuang (539) dan peroleh majoriti selesa 5,003 undi.

Namun beliau menyedari kemunculan semula ini belum tentu diterima baik oleh pemimpin Umno akar umbi. Justeru, Tajuddin, 76, sedia berdamai dengan pengkritik termasuk dengan individu yang mendesak pemecatannya.

Beliau juga menegaskan usaha ini bukan kerana beliau mahu menjadi calon pilihan raya, menurutnya.

“Saya akan satukan semula ahli. Kalau pimpinan bahagian nak bersatu demi kemenangan Umno saya sedia,” katanya.

Bersilat sekian lama dalam arena politik, iaitu sejak 1980an lagi, membentuk Tajuddin menjadi seseorang yang berwaspada. “Ia kena dibuat untuk parti, bukan untuk kepentingan individu, bukan untuk diri kamu,” katanya sebagai peringatan kepada mana-mana individu yang mahu mempergunakan beliau.

“Jangan nak bersatu untuk nak jadi wakil rakyat,” katanya, yang pernah merasai jawatan timbalan menteri semasa pentadbiran Najib Razak kedua, serta pengerusi Prasarana Malaysia dan Felcra.

Tajuddin akui terkilan apabila mendapat tahu segelintir pemimpin akar umbi bergembira dengan penggantungan beliau.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa dia mensabotaj calon BN di Pasir Salak pada PRU lalu.

“Saya kempen siang malam untuk menangkan calon parti dan saya belanja lagi, orang lain tak buatlah… BN kalah bukan sebab saya. Orang tak nak (calon BN) apa boleh buat,” katanya.

Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun selepas secara terbuka mengkritik Umno, berikutan penyingkirannya sebagai ahli majlis kerja tertinggi pada Jun 2022. Beliau juga menggesa Presiden Zahid Hamidi meletakkan jawatan.

Umno menarik balik penggantungan selepas Tajuddin menunjukkan dukungan kepada Umno pada PRK Nenggiri dan Mahkota dan menghadiri perhimpunan agung parti.

Beliau turut berterima kasih kepada Zahid kerana melupakan perselisihan antara mereka.

Tajuddin bertanding di Pasir Salak pada PRU 2008, 2013, dan 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.