Kita lawan di mahkamah, Tajuddin beritahu Guan Eng

Kita lawan di mahkamah, Tajuddin beritahu Guan Eng

Veteran Umno itu juga mempersoalkan mengapa baharu sekarang saman itu difailkan sedangkan kenyataannya tersebut dibuat pada 2022.

Tajuddin Abdul Rahman Guan Eng tile pic 22825
Veteran Umno Tajuddin Abdul Rahman berkata mungkin Lim Guan Eng sekarang ‘tiada kerja nak dibuat’ kerana bukan lagi menteri atau pemimpin kanan DAP.
PETALING JAYA:
Veteran Umno, Tajuddin Abdul Rahman, sedia berdepan Lim Guan Eng di mahkamah bagi mempertahankan dakwaannya bahawa penasihat DAP itu menjadikan Kementerian Kewangan sebuah ‘tokong Cina’ ketika menerajui kementerian itu.

Tajuddin mengesahkan menerima notis saman itu beberapa hari lalu dan berkata beliau akan berjumpa dengan Ahli Parlimen Bagan itu di mahkamah.

“Kalau dia rasa ada sesuatu untuk dituntut, kita lawan di mahkamah,” kata bekas Ahli Parlimen Pasir Salak dan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno kepada FMT.

Beliau turut mempersoalkan mengapa baharu sekarang saman itu difailkan sedangkan kenyataannya tersebut dibuat pada 2022.

Sambil berseloroh, beliau berkata mungkin Lim sekarang ‘tiada kerja nak dibuat’ kerana bukan lagi menteri atau pemimpin kanan DAP.

Dalam saman fitnahnya, Lim berkata pada 18 Okt 2022, Tajuddin mengambil bahagian dalam satu forum anjuran Sinar Harian yang memberi tumpuan kepada pilihan raya umum ke-15.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership petang tadi, Lim menyatakan bahawa pada 18 Okt 2022, Tajuddin menyertai forum anjuran Sinar Harian yang memfokuskan perbincangan mengenai PRU15.

Beliau mendakwa, Tajuddin bukan sahaja menuduhnya meminggirkan kaum Melayu sepanjang tempoh perkhidmatannya, malah mendakwa beliau ‘mengubah kementerian menjadi tokong Cina’

Tambahnya, kenyataan-kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu disebarkan secara meluas di media sosial, portal berita dalam talian dan media konvensional.

Lim berkata, Tajuddin membayangkan bahawa beliau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri secara semberono dan tidak layak memegang jawatan awam.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menuntut ganti rugi, menarik balik kenyataan yang dianggap fitnah itu, serta permohonan maaf terbuka yang disiarkan di akaun media sosial Tajuddin dan di media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.