
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi hari ini, tiga tahun selepas kenyataan kontroversi itu dibuat, Lim menuntut penarikan balik kenyataan tersebut serta permohonan maaf secara terbuka untuk disiarkan di platform media sosial milik Tajuddin, selain di media cetak dan dalam talian.
Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang turut memohon ganti rugi dan perintah injunksi bagi menghalang bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu daripada menerbitkan semula sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadapnya pada masa akan datang.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership petang tadi, Lim menyatakan bahawa pada 18 Okt 2022, Tajuddin menyertai forum anjuran Sinar Harian yang memfokuskan perbincangan mengenai PRU15.
Penasihat DAP itu berkata, Tajuddin bukan sahaja menuduhnya meminggirkan kaum Melayu sepanjang tempoh perkhidmatannya, malah mendakwa beliau ‘mengubah kementerian menjadi tokong Cina’
Tambahnya, kenyataan-kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu disebarkan secara meluas di media sosial, portal berita dalam talian dan media konvensional.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai satu langkah terancang, Lim berkata, Tajuddin membayangkan bahawa beliau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai menteri secara semberono dan tidak layak memegang jawatan awam.
Katanya, ia juga menimbulkan tanggapan bahawa beliau menyalahgunakan kedudukan serta kuasa dengan kononnya memecat penjawat awam berbangsa Melayu daripada kementerian itu ketika Pakatan Harapan mentadbir negara antara Mei 2018 hingga Februari 2020.
Beliau berkata, kenyataan Tajuddin juga mewujudkan tanggapan kononnya beliau menghias atau mengubah kementerian menjadi tokong Cina.
Hujahnya, penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut menjejaskan reputasinya secara serius sebagai seorang ahli politik yang disegani, termasuk kedudukannya selaku bekas pengerusi dan setiausaha agung DAP.
Terdahulu pada 27 Okt 2022, Lim pernah memberi amaran akan menyaman Tajuddin berhubung isu sama dan memaklumkan butiran lanjut saman akan diumumkan oleh peguamnya.