
Menterinya Loke Siew Fook kesal dengan tindakan terburu-terburu pengusaha terbabit mengumumkan kenaikan tambang antara RM3 hingga RM10.50 bermula 1 Jan depan.

Menurutnya, ini kerana Kementerian Pengangkutan baharu mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan, Jumaat lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama.
Jelasnya, manfaat itu akan turut dinikmati pengusaha di Langkawi.
“Saya memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
“Lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Pengurus Operasi Ferry Line Norhafiz Abdul Wahid memaklumkan harga tiket membabitkan kategori pelancong warganegara, bukan warganegara dan penduduk tempatan.
Bagi pelancong warganegara, perjalanan sehala dari Kuala Perlis-Langkawi, harga asal RM21 untuk dewasa dinaikkan RM3 menjadi RM24, manakala kanak-kanak pula RM16 dinaikkan kadar sama menjadi RM19.
Kadar tambang laluan Kuala Kedah-Langkawi, dari RM26.50 dinaikkan RM3.50 menjadi RM30 untuk dewasa, kanak-kanak pula RM20.50 dinaikkan dengan kadar sama menjadi RM24.
Bagi pelancong dewasa bukan warganegara, perjalanan Kuala Perlis-Langkawi berharga RM27, dinaikkan RM8 menjadi RM35, manakala dari Kuala Kedah-Langkawi RM34.50, dinaikkan RM10.50 menjadi RM45.
Kadar tambang kanak-kanak untuk kategori sama bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi harga asal RM19.50 dinaikkan RM5.50 menjadi RM25, manakala perjalanan Kuala Kedah-Langkawi RM25.50 naik RM6.50 menjadi RM32.
Bagi penduduk Langkawi pula, kadar tambang asal dewasa RM15 dinaikkan RM3 menjadi RM18 untuk perjalanan Kuala Perlis-Langkawi, kanak-kanak RM10 naik RM3 menjadi RM13.
Kategori sama bagi laluan Kuala Kedah ke Langkawi harga asal RM20 naik RM3.50 menjadi jadi RM23.50, manakala kanak-kanak dari RM14 naik RM3.50 jadi RM17.50.
Tambang untuk warga emas dan orang kurang upaya masing-masing kekal RM13 dan RM17 bagi Kuala Perlis-Langkawi, manakala RM10 dan RM14 bagi Kuala Kedah-Langkawi.