Jangan cari jalan mudah sertai parti lain, kata Zahid

Jangan cari jalan mudah sertai parti lain, kata Zahid

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata maruah dan integriti penting dalam perjuangan gabungan berkenaan.

Zahid Hamidi berucap merasmikan Konvensyen Barisan Nasional Pulau Pinang di Butterworth hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin dan ahlinya tidak mencari jalan mudah dengan menyertai parti lain apabila merasakan masa mereka hampir tamat dalam gabungan itu.

Tegasnya, maruah dan integriti penting dalam perjuangan BN.

“Jangan merasakan apabila masa anda hampir tamat, anda mencari pintu dan lubang untuk melarikan diri, jika seseorang itu setia kepada parti, parti akan mengetahuinya,” katanya menurut Bernama ketila berucap merasmikan Konvensyen BN Pulau Pinang di Butterworth.

Presiden Umno itu turut menggesa pemimpin dan ahli BN tidak menggunakan platform terbuka seperti media dan media sosial untuk mendesak atau meluahkan masalah mengenai parti serta kerajaan perpaduan.

Ini kerana, katanya, masalah boleh disuarakan kepada beliau atau pemimpin lain yang akan berusaha menyelesaikannya.

“Sama ada kecil atau tidak (masalah), tetapi kita dalam komponen BN, sekecil manapun permasalahan, apabila sampai kepada kepimpinan, insya Allah kita akan selesaikan dengan tidak menimbulkan sebarang masalah…(agar) penyelesaian dapat dibuat dengan sebaik-baiknya. Inilah semangat BN dan kerajaan perpaduan.”

Sementara itu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, BN mahu memberi sumbangan besar dan dominan pada PRU16 dengan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen, bukannya setakat 30 kerusi.

“Sekarang kita menurutkan rakan kongsi dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan, tapi ia tidak bermakna kita akan berundur atau kita sekadar ‘melukut di tepi gantang’. Yang penting bagi kita dalam keadaan sekarang kuatkan perpaduan dalaman, jentera dan turun ke bawah santuni akar umbi.

“Insya Allah, rakyat sangat rindu kepada BN untuk menjadi dominan semula, bukan saja di Pulau Pinang, malah seluruh Malaysia.

“Cuma kita jangan merasa terlalu selesa dengan dukungan rakyat dan dukungan daripada mereka ini mesti terjemahkan dengan menyantuni mereka,” katanya yang yakin menyantuni rakyat di peringkat akar umbi antara jalan terbaik untuk BN meraih kembali kerusi kecundang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.