SAPP umum keluar PN, kata presiden

SAPP umum keluar PN, kata presiden

Presiden Parti Maju Sabah, Yong Teck Lee berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu pada 23 Nov lalu.

Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee parti itu bertindak keluar PN selepas gabungan itu dilihat mahu bertanding dalam PRN Sabah tidak lama lagi.
PETALING JAYA:
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Teck Lee mengumumkan parti itu secara rasmi keluar dari Perikatan Nasional (PN).

Yong berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu pada 23 Nov lalu sebelum dimaklumkan secara rasmi kepada ibu pejabat PN.

Katanya, hasrat PN untuk bertanding dalam PRN Sabah bertentangan dengan dasar dan pendirian SAPP bahawa semua 73 kerusi DUN negeri itu hanya ditandingi oleh parti-parti tempatan.

“Pendirian SAPP adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan autonomi Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, SAPP tidak boleh berkompromi dengan komitmen untuk memastikan PRN Sabah kekal di bawah kuasa parti tempatan dan bebas daripada campur tangan parti yang berpusat di Semenanjung.

SAPP sebelum ini menyertai dua gabungan iaitu PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

SAPP menyertai PN pada Ogos 2020, beberapa bulan selepas gabungan itu dibentuk secara rasmi oleh PAS dan Bersatu.

Rakan komponen GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), juga merupakan komponen PN namun meninggalkan gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin itu pada Dis 2022 selepas pembentukan kerajaan perpaduan.

PN kini terdiri empat parti politik iaitu – Bersatu, PAS, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia.

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun sebelum ini menggesa SAPP memilih sama ada kekal dengan PN atau GRS.

Sementara itu, Yong berkata SAPP juga mengemukakan usul kepada majlis tertinggi GRS untuk gabungan itu meletakkan calon di semua 73 kerusi DUN pada PRN nanti.

Beliau berkata langkah itu penting dalam menegakkan hak Sabah di bawah MA63 dan mencerminkan aspirasi rakyat Sabah yang kuat untuk sebuah kerajaan yang mengamalkan federalisme sejati.

“Kurang 10 bulan sebelum PRN akan datang, SAPP juga menggesa majlis tertinggi GRS untuk segera menyelesaikan sebarang ketidakpastian mengenai penjajaran kerjasama GRS dan Pakatan Harapan.

“Semua hal ini mestilah diperjelas sebelum tahun baharu untuk membolehkan rakyat Sabah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat mengenai masa depan politik mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.