Lelaki dituduh tipu anak bekas menteri Wilayah Persekutuan

Lelaki dituduh tipu anak bekas menteri Wilayah Persekutuan

Bekas remisier didakwa tipu dalam urusan pembelian saham pembekalan peralatan golf.

gavel
Bekas remisier Ali Imran Mohamad mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas remisier mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu anak bekas menteri Wilayah Persekutuan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam urusan pembelian saham pembekalan peralatan golf, tahun lalu.

Ali Imran Mohamad, 26, yang ketika itu kakitangan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, didakwa menipu Raja Hamzah Abidin Raja Nong Chik, 36, dengan memperdayakan mangsa agar mempercayai bahawa beliau boleh menguruskan segala urusan pembelian saham MST Golf berjumlah 1,000,000 unit dengan harga jualan RM900,000 sedangkan tertuduh tidak pernah membuat sebarang pembelian saham tersebut.

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang terbabit kepada Ali menerusi akaun bank atas nama MZ Riqueza Resources milik ibu mentua tertuduh dan beliau telah menggunakan RM655,440 bagi kepentingan peribadi serta hanya memulangkan RM244,560 Raja Hamzah.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar pada 18 Julai 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Saravanan menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin manakala peguam J Joel Ruben memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh kini tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga serta isterinya sedang mengandung anak kedua.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.