Kami minta ‘bapa’ urus jenazah bayi sebelum bayar bil, kata hospital swasta

Kami minta ‘bapa’ urus jenazah bayi sebelum bayar bil, kata hospital swasta

HBR berkata pesakit wanita itu bertegas 'suaminya' akan urus bayi mereka, namun hari berganti hari lelaki itu tidak datang mengambil jenazah bayi diberi nama Adham.

Hospital Bersalin Razif di Klang mendakwa ibu bayi itu memaklumkan mereka bukan suami isteri sah.
PETALING JAYA:
Hospital Bersalin Razif (HBR) di Klang menepis dakwaan jenazah bayi ditahan dua minggu kerana pesakit tidak melangsaikan kos rawatan dengan berkata, ia mengikuti semua pematuhan untuk mempercepatkan pengebumian jenazah bayi diberi nama Adham.

Mengikut kronologi kes, HBR mendakwa seorang wanita datang ke hospital itu bersama “suami” ketika sakit hendak bersalin dan mereka menerima pesakit itu atas dasar kemanusiaan walaupun tidak membuat sebarang tempahan dan pemeriksaan semasa kehamilan.

Hospital swasta itu berkata, wanita itu kemudian memaklumkan mereka bukan pasangan suami isteri sah.

“Wanita itu terus dibawa ke wad bersalin dan melahirkan seorang bayi ‘cyclops syndrome’ dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur tanpa ‘suami di sisi’,” menurut HBR dalam kenyataan.

HBR berkata, selepas selesai proses kelahiran, doktor menerangkan keadaan bayi kepada si “bapa” dan memintanya mengazankan bayi lelaki itu.

Menurutnya, rutin suntikan turut diberikan kepada bayi dan dimaklumkan untuk rujukan, tetapi bayi itu menjadi biru dan meninggal dunia beberapa minit kemudian.

HBR kemudian mengeluarkan permit pengebumian yang ditandatangani pasangan itu dan doktor meminta si “suami” menguruskan pengebumian bayi mereka keesokannya.

Jelasnya, si “suami” memaklumkan dia perlu ke tempat lain sebelum meninggalkan hospital, manakala pesakit (wanita) itu sihat serta dibenarkan pulang keesokannya.

“Keesokan hari, wanita itu memaklumkan tidak dapat menyelesaikan bil hospital berjumlah RM2,480.

“Bagaimanapun, pihak hospital sudah memaklumkan kepadanya, kami boleh menguruskan urusan pengebumian bayi terlebih dahulu sebelum membayar tunggakan bil.

“Dia kemudian berkata ‘suaminya’ akan uruskan pengebumian bayi mereka dan HBR menunggu lelaki itu untuk mengambilnya bagi urusan berkenaan.”

Beberapa hari berlalu, HBR berkata, mereka terus mengingatkan wanita berkenaan untuk urusan pengebumian anaknya, tetapi dia tetap berkata “suaminya akan uruskan”.

Semasa dalam wad, HBR memaklumkan wanita itu diberikan layanan baik dan bergaul dengan kakitangan wad, selain diberikan sesi kaunseling serta makan percuma.

“‘Suami’ wanita itu hanya datang melawatnya beberapa minit sekali dalam dua, tiga hari. Bagaimanapun, pihak hospital gagal bercakap dengan lelaki itu mengenai urusan pengebumian.”

Justeru, HBR mencadangkan pesakit mendapatkan bantuan polis, namun wanita itu merayu tidak membabitkan pihak berkuasa.

“Wanita itu berkali-kali berkata semua keputusan hanya dari ‘suaminya’.”

HBR cuba mendapatkan nombor telefon waris wanita itu, tetapi dia enggan memberi kerjasama.

“Wanita itu mendakwa dia tinggal di bilik sewa bersama ‘suami’ dan tiada saudara-mara atau rakan di kawasan sekitar.”

Semalam, NGO Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) di media sosial mempersoalkan tindakan hospital swasta terbabit yang didakwa tidak berperikemanusiaan mengendalikan pengurusan jenazah bayi lahir tidak cukup sifat.

NGO itu mendakwa ada kakitangan hospital terbabit menghina bayi itu dan mendedahkan bayi berkenaan disimpan dalam peti sejuk beku selama dua minggu, selain ibunya ditahan pihak hospital kerana gagal menjelaskan kos rawatan RM3,600.

Difahamkan, jenazah bayi itu hanya dikeluarkan selepas bapanya menyelesaikan kos rawatan untuk dikebumikan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.