Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Dalam Talian

Dewan Rakyat lulus RUU Keselamatan Dalam Talian

Seramai 77 Ahli Parlimen bersetuju manakala 55 lagi tidak bersetuju dalam undi belah bahagi.

dewan-rakyat
Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 lulus di Dewan Rakyat dalam undi belah bahagi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian 2024 menerusi undi belah bahagi.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas pengundian menyaksikan 77 Ahli Parlimen menyokong, manakala 55 lagi menentang dengan seramai 90 Ahli Parlimen tidak hadir.

“Maka RUU Keselamatan Dalam Talian diluluskan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) memohon undi belah bahagi dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menggulung perbahasan RUU berkenaan.

Permohonan itu menyebabkan persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan 10 minit bagi Ahli Parlimen kedua-dua blok memasuki dewan untuk mengundi.

Terdahulu, beberapa wakil rakyat termasuk Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) membangkitkan kebimbangan mengenai kewujudan unsur manipulasi terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut yang menyekat kebebasan bersuara.

Sementara itu, Fadhli turut menyuarakan kebimbangan Malaysia menjadi negara autokrasi digital seperti Korea Utara sekiranya RUU itu diluluskan.

Bagaimanapun, Azalina ketika penggulungan RUU itu menegaskan akta tersebut lebih memfokuskan syarikat menyediakan perkhidmatan dalam talian, berbanding bertujuan ‘menghalang’ hak asasi dan bersuara individu.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap syarikat tersebut, sekiranya gagal menjalankan ‘kewajipan’ mereka.

“Dengan pengguna yang berpuluh juta dan duit yang berbilion ringgit, takkan dia nak berniaga untung dan sesuka hati sahaja? Tak boleh. Kalau dia langgar peraturan kita, tak perlu jual produk di Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.