Anwar serah kepada Agong berkait titah adendum Najib

Anwar serah kepada Agong berkait titah adendum Najib

Perdana menteri berkata beliau sebelum ini mencadangkan agar Agong mengkajinya semula memandangkan ia terus dibangkitkan secara terbuka.

anwar ibrahim sultan ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau membincangkan secara ringkas isu titah adendum Najib Razak dengan Sultan Ibrahim semasa mesyuarat di Johor Bahru semalam. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan isu kewujudan titah adendum yang membolehkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar berkata beliau telah membincangkan secara ringkas isu terbabit dengan Sultan Ibrahim semasa pertemuan mereka di Johor Bahru semalam.

“Baginda ingin tahu perkembangan terkini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Jadi, kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membawa perkara itu ke mesyuarat Lembaga Pengampunan (Wilayah Persekutuan) untuk pertimbangan menyeluruh.”

Anwar berkata sebelum ini beliau mencadangkan agar Agong mengkaji semula perkara itu memandangkan ia terus dibangkitkan secara terbuka.

Perdana menteri menjawab soalan Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan), yang bertanyakan sama ada Anwar mempunyai rancangan untuk bertemu dengan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang dikatakan telah mengeluarkan titah adendum itu, untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Terdahulu ketika menjawab Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Anwar berkata beliau tidak dapat menjawab sama ada titah itu wujud kerana peraturan Parlimen melarang semua perbincangan mengenai kes mahkamah yang sedang berjalan atas alasan ia subjudis.

Bagaimanapun, Anwar memberi jaminan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau akan memberikan jawapan penuh sebaik prosiding undang-undang berhubung perkara itu selesai.

Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan Najib untuk kebenaran mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya pada 6 Jan.

Najib sedang memohon kebenaran untuk memulakan prosiding bagi semakan kehakiman berhubung perintah tambahan itu. Pada Khamis, peguamnya, Shafee Abdullah, berkata anak Najib, Nizar, baru-baru ini memperoleh bukti baharu untuk membuktikan kewujudan adendum itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai menolak permohonan Najib untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung titah adendum itu.

Ia memutuskan bekas perdana menteri itu gagal membuktikan beliau mempunyai kes yang boleh dipertikaikan untuk mewajarkan pendengaran penuh permohonan semakan kehakiman yang dicadangkannya.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dihadapinya telah dikurangkan separuh daripada 12 tahun kepada enam dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Dia kini sedang menjalani hukuman di penjara Kajang.

Dalam permohonan kebenarannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 1 April, Najib mendakwa bekas Agong itu turut mengeluarkan dekri tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara yang dikurangkan di bawah tahanan rumah, pada mesyuarat FTPB, 29 Jan lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata FTPB tidak mengumumkan syarat dekri tambahan itu dan kerajaan melakukan penghinaan kerana tidak mematuhinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.