
Peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sova Ali, 42, berkata Hakim Syarie Umamuddin Yunus turut mengarahkan bekas Adun Bintong itu membayar kos RM2,000 kepada anak guamnya.
“Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan pihak defendan (Azlan) membayar secara ansuran sebanyak dua kali selewat-lewatnya 30 Jan depan,” katanya kepada FMT.
Zainul Rijal memaklumkan anak guamnya sebelum ini menuntut bayaran keperluan perbelanjaan iddah sebanyak RM20,700 selepas berpisah pada Ogos 2022.
Pada prosiding itu, Sova turut diwakili peguam Siti Hajar Mohd Khusairi manakala Azlan diwakili Puteri Umi Kartini Abd Latiff.
Azlan dan Sova, seorang warga Indonesia, sah bercerai talak satu pada 22 Ogos 2022, selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.
Mereka berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Sova turut menuntut Azlan membayar keperluan perbelanjaannya sepanjang tempoh tiga bulan iddah yang mana perinciannya membabitkan makanan/minuman (RM3,000), pakaian (RM1,500), perubatan (RM600) dan barangan peribadi (RM500).
Perbelanjaan itu juga termasuk bil elektrik, air dan jalur lebar (RM500), kos bersih rumah dan potong rumput (RM300) dan lain-lain (RM500), keseluruhannya berjumlah RM6,900 sebulan atau RM20,700 bagi tiga bulan.
Pada 4 Nov 2022, Sova memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM15 juta dan RM344,250 nafkah tertunggak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Tuntutan itu difailkan Sova yang mendakwa penceraian mereka berlaku tanpa sebab yang munasabah dan Azlan juga tidak mendapatkan kebenaran mahkamah untuk bercerai.