Ada dalang di sebalik pemberi maklumat kes rasuah Adun Sabah? soal ahli akademik

Ada dalang di sebalik pemberi maklumat kes rasuah Adun Sabah? soal ahli akademik

Tajuddin Rasdi berkata pendedahan individu mendakwa menjadi pemberi maklumat itu berlaku menjelang PRN Sabah dijadualkan tahun depan.

bribe
SPRM sebelum ini membidas helah pemberi maklumat yang bersedia memberikan bukti dakwaan rasuah tetapi ingin jaminan dirinya tidak akan disiasat.
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik mempersoalkan sama ada wujud dalang atau tangan bersembunyi di sebalik individu mendakwa menjadi pemberi maklumat membabitkan beberapa Adun Sabah dikaitkan rasuah perlombongan mineral.
Tajuddin Rasdi.

Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI berkata ini kerana insiden terbabit berlaku menjelang PRN Sabah dijadualkan tahun depan di mana penggal pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor tamat Oktober 2025.

“Adakah ada tangan tersembunyi bergerak di belakang tabir dalam usaha memenangi pilihan raya melalui perbicaraan media?,” kata kolumnis FMT itu.

Beliau berkata keadaan berkenaan cukup membimbangkan yang menunjukkan ada ahli politik jahat ingin memusnahkan negara dengan tindakan kurang bertanggungjawab seperti itu.

“Kita mungkin menjadi mangsa percubaan pihak tidak dikenali untuk mensensasikan naratif ‘ahli politik jahat’ dalam talian dan melalui media sosial untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Tajuddin juga mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap pemberi maklumat itu yang telah melakukan pemerasan ugut dan menawarkan rasuah untuk mendapat projek.

“Saya terkejut melihat video dikeluarkan pemberi maklumat itu yang mengaku memberi wang kepada ahli politik dan meminta projek atau lesen diberikan kepadanya.

“Adakah benar untuk mendapatkan projek anda mesti menawarkan rasuah dan apabila rancangan tidak berjaya anda boleh menggunakan pemerasan atau ugutan untuk melaporkan mereka menerima rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Atau terlibat dalam perbicaraan media dengan harapan untuk mengambil kesempatan daripada kejahilan orang ramai secara umum?,” soalnya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan ada lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.

Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya bersedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki membidas helah itu dan meminta bukti diberikan supaya siasatan dapat dibuat segera.

FMT melaporkan satu laporan telah dibuat kepada SPRM terhadap bekas pegawai kanan sebuah syarikat perlombongan negeri di Sabah selepas dia didakwa menyalahgunakan kuasanya dengan bekerja dengan broker untuk membantu syarikat cari gali mineral mendapatkan lesen mencari gali melalui rasuah.

Sementara itu, Hajiji berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan membantu SPRM menyiapkan siasatan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.