
Ketua Pengarah Mohd Hisham Mohd Anip, berkata Pantai Barat turut diramal terkesan apabila intensiti luruan kuat, selain di Sabah dan Sarawak.
Katanya, luruan monsun akan turut menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.
“METMalaysia sentiasa memantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam tempoh seminggu bermula 8 hingga 14 Dis.
“Kita memantau situasi dan akan mengeluarkan amaran sebaik sahaja output model ramalan mencapai tahap keyakinan tinggi,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, musim sejuk di hemisfera utara menyebabkan pembentukan kawasan tekanan udara tinggi di tanah besar China dan Siberia.
“Apabila intensiti tekanan udara terlalu tinggi, ia akhirnya akan meletus dan seterusnya menghasilkan luruan angin sejuk yang akan bergerak melalui Laut China Selatan dan seterusnya ke Pantai Timur Semenanjung serta perairan Sabah serta Sarawak,” katanya.