
Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, Hajiji dan ahli yang lain termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Safar Untong yang juga pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta Pengarah Keselamatan Negeri Sabah Yahaya Sulaiman diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.
Yusmanizam yang bertindak sebagai komander krisis pemulihan bekalan, menjelaskan gangguan itu berpunca daripada menara penghantaran talian 275kV Kolopis-Segaliud tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Kolopis, Penampang.
“Mohd Yusmanizam melaporkan pasukan krisis Sabah Electricity telah digerakkan dan kini sedang melaksanakan penyambungan semula talian Kolopis-Segaliud. Beliau menyatakan jika cuaca mengizinkan, kerja tersebut boleh disiapkan dalam tempoh dua hari,” menurut kenyataan itu.
Hajiji menerusi kenyataan itu, mengakui cabaran dihadapi dalam kerja pemulihan tersebut.
“Saya memahami cabaran kerja yang dilaksanakan dan walaupun kita berharap ia dapat diselesaikan segera, dalam masa sama saya mahu mereka (pasukan pemulihan bekalan) berhati-hati,” katanya.
Hajiji juga mengarahkan Sabah Electricity untuk sentiasa memaklumkan perkembangan pemulihan secara berkala kepada orang ramai dan memantau situasi secara berterusan ekoran cuaca buruk di kawasan terjejas.