
Menterinya, Alexander Nanta Linggi, berkata projek lebuh raya bernilai RM7.7 bilion sepanjang 299.4km itu merangkumi 26 pakej pembinaan, di mana 14 daripadanya telah siap manakala 11 lagi masih dalam pembinaan.
Sementara itu, satu subpakej sedang melalui proses perolehan semula bagi mendapatkan kontraktor untuk menyiapkan baki kerja selepas kontrak terdahulu ditamatkan.
“Bagi pakej yang masih dalam pembinaan, kadar kemajuan fizikal purata ialah 78.12%, berbanding sasaran 79%. Keseluruhan projek LTU dijangka siap pada 2028.
“Kementerian akan terus memantau projek ini bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan mengikut jadual dengan mengambil kira aspek kos, kualiti dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Nanta menjawab soalan Senator Leong Ngah Ngah yang bertanya bila projek lebuh raya tersebut akan siap sepenuhnya dan boleh digunakan oleh pengguna jalan raya di Pantai Timur.