Kelulusan BNM terhadap pindahan USD1 bilion berkait rasuah, dakwa Najib

Kelulusan BNM terhadap pindahan USD1 bilion berkait rasuah, dakwa Najib

Najib Razak mendakwa, transaksi itu mungkin berkaitan dengan rasuah yang dikatakan dibayar kepada syarikat yang dikaitkan dengan suami Zeti Akhtar Aziz.

najib razak
Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Najib Razak mencadangkan bahawa kelulusan ‘segera’ oleh Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap pindahan luar negara sebanyak USD1 bilion dana 1MDB mungkin mempunyai kaitan dengan rasuah melibatkan ahli keluarga bekas gabenor bank pusat itu.

Bekas perdana menteri itu berkata, transaksi itu mungkin berkaitan dengan rasuah yang dikatakan dibayar kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan suami bekas gabenor BNM Zeti Akhtar Aziz, seperti yang didedahkan oleh bekas pegawai bank Tim Leissner dalam prosiding mahkamah di New York.

“Saya mendapat tahu semasa perbicaraan ini bahawa Jho Low (Low Taek Jho) mengarahkan (firma guaman) Sherman dan Sterling membayar lebih USD6.9 juta kepada Iron Rhapsody milik Tawfiq Aiman (suami Zeti),” kata Najib ketika memberikan keterangan utamanya hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enggan meneruskan kes terhadap Tawfiq atau Zeti berhubung perkara itu, menjadikan mereka ‘tidak menanggung sebarang bentuk akauntabiliti’.

“Sebaliknya, saya menjadi sasaran,” kata Najib.

Zeti, yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan, menafikan penglibatan mereka dalam sebarang perbuatan rasuah.

Beliau berkata, Tawfiq sendiri yang melaporkan transaksi mencurigakan melibatkan akaun syarikatnya di sebuah bank Singapura selepas menyedari ‘maklumat sumber terbuka’ tentang asal usul transaksi tersebut yang meragukan.

Najib berkata, BNM sepatutnya bertanya tentang destinasi wang itu kerana ‘penerimanya asyik berubah’ dan ‘pembayaran dana telah diubah’.

Mahkamah sebelum ini dimaklumkan tentang usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) pada 2009, yang menghendakinya melabur USD1 bilion.

Keseluruhan jumlah itu sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank bersama 1MDB dan PSI, tetapi hanya USD300 juta dimasukkan.

Baki USD700 juta lagi didakwa dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Low.

‘Tiada perbincangan 1MDB’ di atas kapal layar kerabat diraja Arab

Najib turut menafikan berbincang tentang 1MDB semasa pertemuan ‘tidak rasmi’ dengan kerabat diraja Timur Tengah pada 2009.

Katanya, bekas pegawainya, Wan Ahmad Shihab Wan Ismail memaklumkan kepadanya bahawa Putera Turki menjemput Najib dan keluarganya menaiki RM Elegance, sebuah kapal layar milik kerabat diraja Kuwait.

“Jho Low tidak pernah bercakap dengan saya secara langsung mengenai perkara ini,” kata Najib.

Shihab sebelum ini memberi keterangan bahawa Low memintanya mengatur pertemuan itu, yang menurut seorang lagi saksi pendakwaan, pegawai penyiasat Nur Aida Arifin, tidak mengikut saluran yang betul.

Najib memberitahu mahkamah, dia bertemu Putera Turki buat kali pertama di atas kapal layar itu, dengan Pengarah PSI Tarek Obaid dan Low turut hadir.

Bekas perdana menteri itu berkata, dia tidak hairan Low turut hadir kerana ahli perniagaan itu mempunyai hubungan rapat dengan keluarga diraja.

“Ia lebih kepada sesi suai kenal. Apabila bertemu seseorang buat kali pertama, kita tidak berbincang tentang perkara serius,” kata Najib.

Najib turut menyangkal dakwaan Aida, yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

“Bagaimana saya boleh begitu berani merancang sesuatu ketika berjumpa dengan seseorang buat kali pertama?”

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.