
Timbalan Menteri Akmal Nasrullah Nasir dalam pemakluman kepada Dewan Rakyat berkata demikian menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang).
“Berdasarkan perbincangan pada Oktober 2024 bersama Menteri Besar Johor (Onn Hafiz Ghazi) dan kementerian, diputuskan bahawa kadar semakan kadar air mentah tidak perlu dirundingkan buat masa ini,” katanya.
Hassan bertanya sama ada kerajaan berhasrat berbincang dengan Singapura bagi kajian semula Perjanjian Sungai Johor 1962.
Ketika ini, Singapura membeli air mentah dari Johor pada kadar tiga sen setiap 1,000 gelen. Republik itu juga menjual balik air terawat kepada Johor pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.
Pada 2018, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penetapan harga itu sebagai “tidak masuk akal” dan menyeru rundingan semula perjanjian.
Tahun lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika itu Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata kerajaan berhasrat menyemak semula perjanjian tersebut kerana ‘isu tertentu’.
Akmal berkata, Johor kini bergantung kepada Singapura bagi purata 16 juta gelen air terawat setiap hari, jauh melebihi lima juta gelen yang ditetapkan. Ini menjadikan Johor menanggung kos tambahan kira-kira RM180,000 setahun.
Bagi menangani kebergantungan itu, beliau berkata, Johor dalam proses melaksanakan Kebergantungan Sifar, mensasarkan mencapai bekalan air mandiri menjelang 2030.
Projek utama bawah inisiatif berkenaan termasuk pembinaan loji rawatan air seperti di Layang 2 dan Semanggar 3, dan naik taraf infrastruktur sepanjang sungai seperti di Sungai Johor dan Sungai Sedili Besar, katanya.
Namun, Akmal berkata, untuk mencapai mandiri air sepenuhnya menjelang 2030 mungkin mencabar susulan pertumbuhan pesat sektor perindustrian seperti pusat data dan semikonduktor di Johor.
“Jadi, bekalan air terawat dari Singapura kekal penting bagi memenuhi keperluan air Johor.”
Menjawab soalan tambahan Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin), Akmal berkata Johor mendapat manfaat daripada perjanjian itu kerana kos pembelian air terawat dari Singapura lebih rendah berbanding pengeluarannya dalam negara.
“Purata kos merawat isipadu air setara setiap hari ialah RM1.80, jadi terdapat faedah timbal balik, kerana kami hanya membayar 50 sen setiap 1,000 gelen untuk air terawat dari Singapura,” katanya.