
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, menjelaskan MoU berkenaan bersifat tidak mengikat dari segi perundangan yang dirundingkan sejak 2020, iaitu lima tahun lalu.
Beliau berkata, instrumen kerjasama pertahanan ditandatangani Kementerian Pertahanan dengan Jabatan Perang Amerika Syarikat pada 30 Okt 2025 di sela Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus adalah MoU dan bukannya perjanjian seperti dinyatakan.
“Kandungan MoU kerjasama pertahanan ini tertumpu kepada aktiviti-aktiviti dua hala antara Malaysia dengan AS merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan dan eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan, serta bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama melalui Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak 2008.
“Pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan negara-negara rakan adalah instrumen diplomasi pertahanan seperti digariskan dalam Tonggak Ketiga, Kertas Putih Pertahanan (KPP) dilancarkan pada 2019 ketika Dr Mahathir Mohamad memegang amanah sebagai perdana menteri ketujuh,” katanya dalam kenyataan.
Khaled berkata, selain AS Malaysia turut menandatangani MoU kerjasama pertahanan dengan negara lain seperti China (2016), Jepun (2018), Lao PDR (2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) dan yang terkini Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Dis lalu.
Beliau berkata, pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan negara tersebut termasuk AS adalah seiring dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali, serta mendokong komitmen negara kepada deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (Zopfan) yang ditandatangani negara anggota Asean pada 1971.
“Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas keprihatinan Mahathir dalam perkara ini dan menegaskan bahawa pemeteraian MoU kerjasama pertahanan dengan AS adalah atas kepentingan negara dalam usaha memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.
Khamis lalu, Mahathir mengeluarkan kenyataan mengenai perjanjian kerjasama pertahanan antara Malaysia dan AS, mendakwa kerajaan tidak mendedahkan sepenuhnya kandungan perjanjian dibuat bersama AS, termasuk elemen berkaitan ketenteraan serta dasar luar negara kuasa besar itu.