
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, lokasi kejohanan itu, yang sepatutnya diadakan bulan lepas, ditukar susulan tindakan 18 negara menarik diri daripada bertanding di Iran atas faktor keselamatan.
“Disebabkan konflik yang terjadi di Iran, MSDeaf mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa kejohanan di mana mereka minta kita ganti (Iran sebagai tuan rumah),” katanya kepada FMT.
Ong berkata, MSDeaf diperuntukkan hanya lebih sebulan untuk membuat persiapan termasuk menyediakan keperluan lebih 1,000 atlet yang akan bertanding dalam 9 acara sepanjang kejohanan hingga 8 Dis.

“MSDeaf berasa bangga kerana persatuan kurang upaya seperti kami boleh mengendalikan kejohanan besar bertaraf Asia Pasifik,” kata Ong sambil menambah, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah kejohanan ini untuk kali kedua pada 2028.
Dalam pada itu, atlet lompat jauh dan lari 100m Nur Andrina Zainudin, 19, yakin mampu mengharumkan nama negara dengan merangkul emas pada kejohanan itu nanti.


Anak keempat daripada enam adik beradik itu berkata, minatnya dalam olahraga mula berputik sejak usia 9 tahun dan beliau mengimpikan dapat membanggakan keluarganya pada kejohanan kali ini.
Sementara itu, jurulatih Mohd Amiludin Mohd Amin, 52, yang telah berkecimpung melatih atlet pekak sejak 2011 berkata, kejayaan melatih atlet kurang upaya sehingga meraih pencapaian menjadi suatu kepuasan baginya.

“Saya berasa amat bangga apabila dapat beri ilmu kepada semua yang hendak belajar, terutama atlet pekak ini,” kata Amiludin, yang juga guru pendidikan jasmani dan kesihatan di sebuah sekolah di Terengganu.
Beliau berkata, bahasa bukanlah penghalang untuk komunikasi sempurna dengan atlet dilatihnya, cuma beliau perlu menggunakan kaedah berlainan untuk menyampaikan latihan.
“Kalau atlet biasa, bila cakap mereka faham, tetapi untuk atlet pekak, kita perlu tunjuk gaya baru mereka faham apa yang perlu dibuat,” jelasnya.