KPM batal kejohanan ragbi selepas peserta meninggal dunia

KPM batal kejohanan ragbi selepas peserta meninggal dunia

KPM berkata pelahar itu rebah ketika perlawanan dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital serta disahkan meninggal dunia.

KPM BUILDING-PUTRAJAYA-KEMENTERIAN PENDIDIKAN-1
Kementerian Pendidikan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2025 sehingga esok bagi menghormati pemergian pelajar itu.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan 2025, selepas seorang peserta meninggal dunia semalam.

KPM mengucapkan takziah kepada keluarga murid itu dan memaklumkan keputusan membatalkan kejohanan sehingga esok serta menjadualkannya semula bagi menghormati pemergian pelajar terbabit.

“Allahyarham yang rebah ketika perlawanan telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan bertugas sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.

“Seluruh warga KPM mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya menurut Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata peserta itu ialah pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman yang berasal dari Johor.

Menurutnya, remaja berusia 16 tahun itu rebah kira-kira 10.30 pagi semalam, ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan berkenaan.

“Hasil temu bual awal bersama guru pengiring mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau keletihan semasa bermain pada separuh masa pertama perlawanan tersebut.

“Pegawai perubatan bertugas di lokasi kejadian segera memberi rawatan awal selepas mendapati mangsa mengalami kekejangan otot dan disyaki terkena sawan. Bantuan pernafasan (CPR) turut diberikan selepas nadi mangsa dikesan lemah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada 11.18 pagi.

“Hasil bedah siasat Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan (exsanguination from psoas muscle tear). Kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan.”

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.