Jangan abai BI dalam usaha perkukuh bahasa kebangsaan, kata pengerusi ESUM

Jangan abai BI dalam usaha perkukuh bahasa kebangsaan, kata pengerusi ESUM

Tunku Naquiah Tuanku Ja’afar berkata, penguasaan BI amat penting agar Malaysia dapat berdiri setaraf di peringkat global dalam pelbagai bidang.

Tunku Naquiah Tuanku Ja’afar cadang Malaysia ikut pendekatan England, di mana pelajar wajib belajar 3 bahasa, agar dapat bersaing dengan lebih berkesan di pentas global. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi English Speaking Union of Malaysia (ESUM) Tunku Naquiah Tuanku Ja’afar menegaskan, bahasa Inggeris tidak boleh diabaikan dalam pada usaha memperkukuh bahasa kebangsaan.

Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap penurunan tahap penguasaan bahasa Inggeris di Malaysia sejak 1990an, menurutnya susulan perubahan dasar yang mengutamakan bahasa Melayu di sekolah.

“Kita mesti memperkukuh bahasa kebangsaan, namun pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini, lapor Bernama.

“Untuk berdiri setaraf di peringkat global dalam bidang ekonomi, sains dan lain-lain, penguasaan bahasa Inggeris amat penting.”

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris di luar negara, namun lebih banyak usaha perlu digerakkan pada peringkat pendidikan.

“Di England, pelajar diwajibkan mempelajari tiga bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan satu bahasa asing,” katanya.

“Kita wajar mempertimbangkan pendekatan serupa supaya rakyat Malaysia dapat bersaing dengan lebih berkesan di pentas global.”

Dalam pada itu, diumumkan bahawa ESUM buat julung kalinya menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Antarabangsa (ICM) yang menghimpunkan wakil dari lebih 10 negara bagi membincangkan usaha memperkukuh peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa global.

Menurut Tunku Naquiah, mesyuarat dari 29 Sept hingga 2 Okt itu akan disertai wakil dari negara termasuk Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Sri Lanka, Hong Kong, Mongolia, Bulgaria, Lithuania dan Pakistan.

Beliau berkata, mesyuarat itu menjadi platform perkongsian idea dan ilmu dalam usaha mempromosikan bahasa Inggeris sebagai bahasa sejagat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Mesyuarat ini akan menampilkan perbincangan serta pengisian kemahiran debat, pengucapan awam dan program komunikasi dengan beberapa negara anggota turut membentangkan inisiatif masing-masing.

“Penganjuran ini juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 ESU Malaysia yang ditubuhkan pada 2000,” katanya.

Tambahnya, selain sesi perbincangan, delegasi akan dibawa melawat lokasi budaya dan warisan di Melaka dan Seremban, termasuk lawatan ke Galeri Tuanku Ja’afar.

ICM merupakan perhimpunan tahunan cawangan ESU dari seluruh dunia, dianjurkan di negara berbeza setiap tahun dengan London menjadi tuan rumah sekali setiap empat tahun.

ESU yang berpusat di London turut menganjurkan pertandingan pengucapan awam antara yang terbesar di dunia, untuk belia berusia 16 hingga 20 tahun, dengan Malaysia pernah melahirkan tiga juara dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.