Banjir: 20 jalan persekutuan ditutup di Kelantan

Banjir: 20 jalan persekutuan ditutup di Kelantan

Enam jajahan terlibat ialah Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.

Banjir yang melanda Kelantan sejak Rabu menyebabkan 20 jalan persekutuan ditutup. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Sebanyak 20 jalan persekutuan membabitkan enam jajahan di Kelantan ditutup setakat ini, susulan banjir yang melanda negeri itu sejak Rabu lepas.

Enam jajahan terlibat ialah Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Bachok.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Nik Soh Yaacoub, berkata daripada jumlah itu 12 jalan ditutup sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan manakala lapan lagi ditutup untuk kenderaan ringan sahaja.

“Lapan jalan persekutuan ditutup sepenuhnya di Pasir Mas kepada semua jenis kenderaan ialah jalan berhampiran Kedai Tanjung, Kampung Tok Deh, Culvert 5 di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang, Kubang Rambutan, AADK Lubok Jong, Jambatan Lubok Jong-Risda Gaung, Jambatan Tersang dan lampu isyarat Rantau Panjang.

“Di Tumpat pula melibatkan Kampung Telaga Bata-Kampung Pauh Sebanjar dan Terowong Pasir Pekan, manakala di Tanah Merah dekat Kampung Pepuyu-Kampung Kajang dan Kota Bharu di McDonald’s Kok Lanas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata lapan, jalan persekutuan ditutup untuk kenderaan ringan sahaja iaitu masing-masing dua jalan di Kampung Badak dan Kampung Gaung Jalan Bypass (Pasir Mas), Caltex Padang Melintang-Petron Beris Kubu Besar dan Sekolah Kebangsaan Banggu (Bachok), lampu isyarat Jerus dan Panggong Tiga Daerah (Pasir Puteh) serta Sekolah Kebangsaan Tiong dan selekoh culvert, Jalan Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.