
Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata penutupan dan lencongan bermula jam 9 malam esok bagi memberi laluan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur menuju ke Kuil Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.
Beliau berkata jalan yang terlibat termasuk Jalan Tun H S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi. Turut terlibat, Jalan Raja Laut, Jalan Belia, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah (JaLan Ipoh) , Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima) dan Jalan Salah.
“Perarakan balik pedati akan bermula pada Jumaat ini pada jam 3 petang melalui jalan yang sama dan akan dibuka secara berperingkat,” katanya menurut laporan Bernama.
Beliau menasihatkan kepada seluruh warga kota terutama kepada pengguna jalan raya supaya mengelak menggunakan jalan berkenaan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Trafik di talian 03-20260267.
Sementara itu, mengulas Himpunan Rakyat #daulattuanku dan penyerahan memorandum yang dirancang diadakan di Istana Negara esok, Allaudeen berkata pihaknya akan mengatur gerak anggota polis yang secukupnya.
“Kawalan keselamatan perlu diberi keutamaan dan setakat hari ini polis tidak menerima sebarang pemakluman daripada pihak penganjur,” katanya.