Paip gas bocor di tapak ECRL, polis tutup jalan utama Kerteh-Ranggon

Paip gas bocor di tapak ECRL, polis tutup jalan utama Kerteh-Ranggon

Kebocoran dilaporkan berlaku kira-kira 2km dari jalan utama, tidak libat kampung atau kediaman penduduk, kata polis Kemaman.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli
Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi berhubung kebocoran paip gas jenis butane dalam bentuk gas mudah terbakar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon buat semua kenderaan susulan kebocoran paip gas Petronas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, pagi tadi.

Ketua Polis Kemaman Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi berhubung kebocoran paip gas jenis butane dalam bentuk gas mudah terbakar.

Katanya, kebocoran dilaporkan berlaku kira-kira 2km dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

“Langkah awal pihak polis ialah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja. Bekalan gas di saluran paip gas yang bocor juga telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara hingga selesai kerja penyelenggaraan oleh kontraktor.

“Laluan utama Kerteh-Ranggon juga ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan manakala Pusat Kawalan Tempat Kejadian juga telah diaktifkan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Mohd Razi berkata, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan akan menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak menghampiri lokasi kejadian dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada bilik gerakan IPD Kemaman di talian 09-8592222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.