Diupah Ah Long ugut peminjam, gadis ditahan baling bom petrol

Diupah Ah Long ugut peminjam, gadis ditahan baling bom petrol

Menurut polis suspek dikatakan menerima upah daripada Ah Long untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat guna api terhadap mangsa gagal bayar pinjaman wang.

handcuff
Polis berkata gadis 17 tahun itu direman enam hari hingga 2 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 435 dan 507 Kanun Keseksaan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang gadis 17 tahun ditahan kerana disyaki membaling bom petrol sehingga menyebabkan sebuah kereta terbakar di Taman Damai Jaya, Skudai, semalam.

Polis merampas dua notis ugutan tertera nombor telefon Singapura dan ayat “Owe money pay today is a warning if you still don’t want reply I will come burn”.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan berkata seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu pada 3 pagi itu.

“Mangsa berada di rumah dan menyedari keretanya yang diparkir di pekarangan rumah dalam kawasan berpagar terbakar,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Nusa Bestari bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri menahan suspek pada 3.50 pagi dan hasil semakan mendapati dia tiada rekod lampau serta negatif dadah.

“Suspek dikatakan menerima upah daripada Ah Long untuk membuat ugutan jenayah dengan cara khianat menggunakan api ke atas kediaman mangsa yang gagal melunaskan pinjaman wang.

“Selain notis ugutan, kami turut merampas dua botol kaca serta satu tong petrol,” katanya sambil menambah suspek direman enam hari hingga 2 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan Seksyen 507 kanun sama (ugutan jenayah melalui komunikasi tanpa nama).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.