
Muhyiddin berkata, Wan Zikri dan Adun Pauh Megat Hashirat Hassan tidak dilantik semula ke dalam barisan pimpinan kerajaan Perlis untuk 2024-2025 bukan kerana mereka tidak menjalankan tugas dengan baik sebaliknya kedudukan dalam parti.
“Maka yang lama tergugur bukan kerana apa (prestasi) tetapi proses perubahan, Perlis ini setahun sekali (rombak barisan exco) jadi kita review (nilai) setahun sekali, tak tahu yang depan macam mana.
“Maksudnya dah ada consultation (rundingan) dengan parti,” katanya dalam temu bual FMT.
Semalam, Wan Zikri meluahkan rasa kecewa selepas digugurkan sebagai exco belia dan kemajuan sukan, pembangunan industri kecil dan sederhana dan wilayah ekonomi baharu yang disandangnya sejak 16 Dis tahun lalu.
Beliau mendakwa diberitau Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli yang penggugurannya bukan disebabkan prestasi tetapi politik dalaman.
Tempat Wan Zikri dan Megat Hashirat digantikan Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah (Adun Kuala Perlis) dan Adun Sena Marzita Mansor. Adun Titi Tinggi Izizam Ibrahim, juga daripada Bersatu dikekalkan dalam pentadbiran.
“Abu Bakar ketua badan pimpinan Perlis dan menang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tetapi tak jadi exco (untuk sesi 2023-2024), saya tanya MB mengapa tak lantik? (jawab MB) kerana dia tak tahu tetapi sekarang jadi exco yang diperkenan Raja Perlis.
“Izizam kekal sebagai timbalan pengerusi badan pimpinan negeri manakala Marzita (sebab) terpilih exco Srikandi (Wanita) dan ketua di Perlis…elok bagi peluang Wanita,” kata Muhyiddin menjelaskan pemilihan tiga wakil Bersatu sebagai exco Perlis.
Dalam pada itu, Muhyiddin mendedahkan Shukri terlupa untuk merujuknya bagi pelantikan exco negeri daripada Bersatu pada tahun lalu.
“Kali ini dia bagus, datang balik kerana dah sampai masa nak minta calonkan (exco), patut cara begitu kerana pemimpin parti perlu dilibatkan dan dirunding,” katanya.
Sebagai rekod, Abu Bakar pernah mengisytiharkan perang terhadap Shukri dan mendesak pesuruhjaya PAS itu meletak jawatan selepas namanya tiada dalam senarai exco kerajaan Perlis buat kali kedua tahun lalu, walaupun sudah mendapat surat sokongan dari Muhyiddin.