Belum muktamad, PH tak perlu ‘terpancing’ provokasi Umno N Sembilan, kata penganalisis

Belum muktamad, PH tak perlu ‘terpancing’ provokasi Umno N Sembilan, kata penganalisis

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata berdasarkan situasi semasa juga, kerajaan negeri akan kekal.

pc umno negeri sembilan
Menurut penganalisis, tindakan 14 Adun Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dilihat sebagai langkah yang ‘tidak ada erti’ kerana ia bukan keputusan pimpinan tertinggi parti itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) tidak perlu ‘terpancing’ dengan perkembangan politik di Negeri Sembilan kerana tindakan Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun dilihat sebagai langkah yang ‘tidak ada erti’, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata langkah itu belum muktamad memandangkan ia bukan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Umno pusat, manakala pentadbiran kerajaan negeri juga dijangka akan kekal.

Beliau berkata tindakan Umno Negeri Sembilan itu juga tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada peringkat pusat walaupun tradisi parti biasanya mendengar pandangan badan perhubungan negeri.

“Kemelut itu berpunca daripada dakwaan Umno bahawa Aminuddin mengeluarkan kenyataan tidak wajar mengenai Adat Perpatih, selain isu membabitkan institusi istana yang mendorong tindakan tersebut.

mazlan ali
Mazlan Ali.

“Tindakan Umno ini tidak muktamad. Mungkin peringkat pusat tidak membenarkan dan jika kita lihat situasi semasa, kerajaan negeri akan kekal.

“Dakwaan Umno mempunyai jumlah (kerusi) mencukupi bersama Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan baharu juga tidak diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Jadi, gerakan itu nampaknya tidak mempunyai erti,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, pimpinan PH seperti Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution Ismail pasti mempunyai ‘formula’ untuk menyelesaikan isu terbabit di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi dilaporkan berkata, keputusan 14 Adunnya di Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin dibuat wakil rakyat sendiri. Tetapi, presiden Umno itu mengakui sudah dimaklumkan mengenai tindakan mereka.

Krisis Negeri Sembilan tercetus selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Sungei Ujong, mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam sidang media bersama tiga Undang lain pada 19 April.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf penyingkiran itu kerana Mubarak telah disingkirkan secara sah sebagai Undang pada 13 Mei tahun lalu kerana melanggar hukum adat.

Tindakan Adun BN itu turut menyebabkan Pemuda DAP mendesak kepimpinan PH mengkaji semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) berikutan tindakan penarikan sokongan di kalangan Adun BN terbabit.

James Chin
James Chin.

Penganalisis, James Chin dari University of Tasmania berpandangan tuntutan itu adalah satu keperluan politik untuk meredakan kemarahan akar umbi namun ia tidak akan dilayan pimpinan PH kerana boleh mengundang risiko kestabilan kerajaan.

“Jika mereka (PH) berbuat demikian, mereka memaksa Umno keluar daripada kerajaan dan PH akan tumbang. Jadi, ia adalah mustahil.

“Pemuda DAP perlu mengatakannya kerana penyokong mereka sangat marah. Lazimnya, sayap pemuda mana-mana parti memang akan mengambil posisi lebih ekstrem berbanding parti induk,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.