Umno tarik balik penggantungan Tajuddin

Umno tarik balik penggantungan Tajuddin

Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat MKT Umno.

Tajuddin Rahman
Penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, selama enam tahun ditarik balik oleh kepimpinan Umno malam tadi.
KUALA LUMPUR:
Kepimpinan Umno menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, berkuat kuasa serta-merta.

Penarikan balik penggantungan keahlian selama enam tahun itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat majlis kerja tertinggi Umno malam tadi, yang dipengerusikan Presiden Zahid Hamidi.

“Majlis Kerja Tertinggi sebulat suara untuk melepas dan menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin Sebagai ahli Umno berkuat kuasa serta merta selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan Umno,” menurut kenyataan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.

Tajuddin digantung keahlian bermula September 2022 selepas secara terbuka mengkritik Umno, berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun tahun yang sama. Beliau juga menggesa Zahid meletakkan jawatan.

Tajuddin dilapor mengemukakan rayuan sebanyak empat kali namun tiada maklum balas, sehinggalah Zahid pada Ogos memaklumkan rayuan beliau akan dibawa ke MKT.

Tajuddin, 76, mewakili rakyat Pasir Salak selama tiga penggal, melalui PRU 2008, 2013, dan 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.