
Ahli Majlis Pimpinan PN Ronald Kiandee turut menolak bahawa gabungan itu mempunyai kaitan dengan dakwaan Pengerusi BN Zahid Hamidi berhubung ada usaha memujuk BN meninggalkan kerajaan ditadbir Anwar Ibrahim kini.

“Saya (sebagai naib presiden) ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan ahli Majlis Tertinggi PN, sepanjang pengetahuan saya, tiada sebarang keputusan dibuat kedua-duanya untuk berunding dengan mana-mana pihak mengenai jajaran baharu.
“Soal ada individu sama ada Ahli Parlimen atau sesiapa sahaja dalam rundingan seperti didakwa, ia bukan dari mandat parti,” katanya kepada FMT.
Mengulas lanjut, Kiandee berkata PN hanya mahu memberi fokus terhadap peranan pembangkang menjadi semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan.
“PN bangga mengangkat tanggungjawab sebagai pembangkang dan akan terus memainkan peranan sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan,” kata Ahli Parlimen Beluran itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden pula berkata sekali pun wujud pertemuan antara wakil pembangkang dengan Zahid, ia bukan mewakili parti sebaliknya atas kapasiti individu.
Katanya, Zahid boleh sahaja mendedahkan siapa individu yang membuat rundingan tersebut jika ia benar-benar berlaku.
“Zahid boleh bertemu dengan sesiapa sahaja yang dia mahu. Kalau beliau tidak mahu, buat apa bertemu. Beliau boleh mengelak atau menolak.
“Soalnya perlukah beliau nak dedahkan dengan siapa beliau bertemu, itu hak beliau dan terpulang pada beliau,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pula menyindir Zahid jika perkara itu benar-benar terjadi kerana kerana ‘cikgunya’ telah mengamalkan kaedah sama sejak 2008, merujuk tindakan Anwar cuba mengambil alih kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi melalui ‘Projek 16 September’.
“Jika cikgu sendiri sudah mengajar kaedah itu, tidak pelik selepas belasan tahun, anak-anak murid pun sudah ramai yang pandai melakukannya,” katanya.
Semalam, Zahid mendedahkan wujud usaha memujuk BN meninggalkan kerajaan perpaduan Anwar yang berusia dua tahun pada bulan ini.
Tanpa mendedahkan identiti pihak terbabit, beliau mendakwa, BN turut ditawarkan jawatan perdana menteri jika bersetuju.