Rangka pelan jangka panjang tamat kekurangan jururawat, gesa majlis global

Rangka pelan jangka panjang tamat kekurangan jururawat, gesa majlis global

Majlis Jururawat Antarabangsa berkata, kekurangan itu diburukkan lagi dengan negara berpendapatan tinggi mengambil jururawat berpengalaman dari negara Asia seperti Malaysia.

wad hospital
Majlis Jururawat Antarabangsa berkata, kekurangan jururawat di Malaysia dijangka mencapai hampir 60% daripada jumlah tenaga kerja kejururawatan menjelang 2030.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu merangka rancangan jangka panjang untuk menangani kekurangan jururawat yang kritikal, kata Majlis Jururawat Antarabangsa (ICN).

Ketua Eksekutif ICN, Howard Catton, berkata kekurangan jururawat di Malaysia – diunjurkan mencapai hampir 60% daripada jumlah tenaga kerja kejururawatan menjelang 2030 – diburukkan lagi dengan negara berpendapatan tinggi mengambil jururawat berpengalaman dari Asia yang menawarkan gaji dan keadaan kerja lebih baik.

Menurutnya, pelan sedekad diperlukan, dengan tumpuan pada gaji, keadaan kerja, keselamatan dan prospek kerjaya lebih baik bagi menarik jururawat baharu sambil mengekalkan kakitangan berpengalaman.

“Ada negara yang meningkatkan bekalan jururawat mereka, tetapi permintaan meningkat lebih cepat daripada bekalan. Ia mengambil masa tiga tahun bagi mendidik seorang jururawat. Jadi, perlu ada rancangan jangka panjang dan kenal pasti dana untuknya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, rancangan sedemikian perlu merapatkan gaji jururawat kepada purata pendapatan negara. Pendapatan jururawat di hospital awam dikatakan antara RM2,600 hingga RM3,800 dengan elaun, manakala purata gaji bulanan negara pula dilaporkan RM6,610 pada Mei lalu.

“Ini menghantar mesej sangat kuat kepada jururawat atau bakal jururawat bahawa kami tidak menghargai kerja yang mereka lakukan.”

Catton turut menggesa pelaburan lebih besar dalam profesion kejururawatan dan pekerja kesihatan.

“Penjagaan yang lemah membawa kemudaratan kepada pesakit yang dianggar membebankan negara sebanyak 10% daripada keluaran dalam negara kasar.”

Katanya, pelaburan dalam perkhidmatan kesihatan akan menyaksikan rakyat sihat bekerja dan terlibat dalam masyarakat.

“Ada rangsangan ekonomi yang datang daripadanya. Ia satu cara untuk meningkatkan pertumbuhan dan pemulihan ekonomi anda.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.