Kesatuan mahu KKM pantau isu kekurangan jururawat, kesan longgar syarat kemasukan

Kesatuan mahu KKM pantau isu kekurangan jururawat, kesan longgar syarat kemasukan

Presiden MNU Saaidah Athman ulas kebimbangan langkah melonggarkan syarat bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada hanya tiga kredit untuk ke diploma kejururawatan.

jururawat nurse
Kerjaya jururawat memerlukan pemikiran kritikal, seni menjaga serta merawat pesakit dengan penuh keikhlasan dan perhatian khusus, menurut Presiden MNU Saaidah Athman.
PETALING JAYA:
Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) berharap Kementerian Kesihatan (KKM) terus memantau isu kekurangan jururawat dengan menyediakan penyelesaian menyeluruh.

Ia termasuk memantau kesan langkah menurunkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada hanya tiga kredit berbanding lima sebelum ini.

Presidennya Saaidah Athman berkata pihaknya telah menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan langkah itu dalam perbincangan bersama Bahagian Kejururawatan KKM serta wakil institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada tahun lalu.

Namun mereka diberitahu langkah itu hanya bersifat sementara bagi menangani kekurangan jururawat yang semakin kritikal.

“Kami tidak bersetuju kerana profesion kejururawatan ialah satu kerjaya yang memerlukan pemikiran kritikal, seni menjaga serta merawat pesakit dengan penuh keikhlasan dan perhatian khusus.

“Profesion jururawat bukan sekadar pekerjaan teknikal, sebaliknya memerlukan asas ilmu kukuh bagi melahirkan jururawat terlatih dan mampu memberikan rawatan berkualiti,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, nilai dan kualiti jururawat yang dilahirkan akan menentukan keberkesanan keseluruhan sistem perawatan di bawah KKM.

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan Dr Ahmad Fadhzil Mohamad menyuarakan kebimbangan pelonggaran syarat kemasukan bagi program kejururawatan bukanlah penyelesaian jangka panjang kepada isu kekurangan jururawat.

Beliau mencadangkan kerajaan mengekalkan syarat lima kredit dengan subjek Sains wajib lulus, selain meningkatkan pengambilan pelajar serta menambah baik kemudahan pengajian dan tenaga pengajar.

Ahmad Fadhzil juga mencadangkan supaya diwujudkan jawatan pembantu jururawat atau jururawat masyarakat bagi meringankan beban petugas barisan hadapan, selain menawarkan sistem gaji dan elaun yang lebih baik.

Mulai Januari tahun ini, KKM melonggarkan syarat kemasukan ke program diploma kejururawatan bagi lepasan SPM daripada lima kredit kepada hanya tiga kredit — Bahasa Melayu, Matematik dan Sains — sehingga Disember tahun depan.

Sebelum ini, calon perlu memperoleh lima kredit termasuk Bahasa Inggeris serta satu subjek sains utama seperti Biologi, Kimia atau Fizik.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, sebelum ini menjelaskan langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan menangani kekurangan jururawat di hospital kerajaan dan swasta, dengan lebih 13,000 kekosongan direkodkan setakat Disember lalu.

Menurutnya, pelonggaran syarat berkenaan tidak akan menjejaskan kualiti latihan kerana silibus pembelajaran sedia ada dikekalkan, yang turut merangkumi kemahiran analitikal, pemikiran kritikal dan pemahaman teori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.