Perlu SOP jelas ambil jururawat Indonesia, kata exco Johor

Perlu SOP jelas ambil jururawat Indonesia, kata exco Johor

Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru saran jururawat negara itu berkhidmat di Malaysia bagi atasi isu kekurangan tenaga kerja sektor perubatan.

Ling Tian Soon
Exco Johor Ling Tian Soon berkata jururawat asing yang ingin berkhidmat di Malaysia perlu melalui beberapa proses, termasuk mendapat kelulusan kepakaran daripada Lembaga Jururawat Malaysia. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Kerajaan Johor menyambut baik cadangan kerjasama strategik dengan Indonesia bagi menangani isu kekurangan jururawat dalam sektor perubatan di Malaysia, khususnya di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata langkah itu bukan saja dapat membantu mengatasi kekurangan jururawat di hospital awam, malah turut memberi manfaat kepada sektor swasta.

Bagaimanapun, tegasnya, agensi dan kementerian terlibat perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) jelas berhubung pengambilan tenaga kerja dari Indonesia dalam sektor itu.

Ini kerana, katanya, jururawat dari luar negara yang ingin berkhidmat di Malaysia perlu melalui beberapa proses, termasuk mendapat kelulusan kepakaran daripada Lembaga Jururawat Malaysia.

“Selain itu, mereka juga mungkin perlu mendapatkan permit pekerjaan daripada Kementerian Sumber Manusia. Ini semua perkara teknikal yang perlu diperjelaskan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas cadangan Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru baru-baru ini untuk jururawat dari Indonesia berkhidmat di Malaysia bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor perubatan.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto dipetik berkata, ia langkah menang-menang memandangkan kira-kira 70% pesakit antarabangsa di Malaysia berasal dari Indonesia.

Beliau berkata, ia sekali gus akan memanfaatkan kedua-dua negara kerana Malaysia berdepan kekurangan tenaga kerja kesihatan termasuk jururawat, sementara Indonesia pula mempunyai lebihan tenaga kerja dalam bidang itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi memaklumkan hospital utama di Johor Bahru berdepan krisis kekurangan tenaga kerja kesihatan serius dan kritikal, dengan seorang jururawat terpaksa menguruskan 10 hingga 14 pesakit dalam satu syif, berbanding nisbah ideal 1:6 atau maksimum 1:8.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.