
Beliau berkata pihaknya tidak mahu dianggap menghina mahkamah dan akan mematuhi perintah yang diputuskan itu.
“Memandangkan keputusan mahkamah dibuat pagi tadi, kita perlu menunggu laporan penuh (penghakiman) mahkamah berhubung perkara itu sebelum mengarahkan kementerian memulangkan jam tangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Saifuddin berkata pada dasarnya, KDN adalah seperti kementerian lain dan perlu menghormati dan mematuhi keputusan mahkamah.
Tambahnya, beliau akan diberi taklimat mengenai perkara itu tidak lama lagi.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerajaan memulangkan jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection, yang dirampas oleh pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun lepas.
Hakim Amarjeet Singh berpendapat bahawa KDN telah melanggar undang-undang dalam melakukan tindakan itu dan mengarahkan kerajaan memulangkannya dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Rampasan dibuat dalam serbuan di 11 kedai Swatch di Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah.
Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas warganet mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT.