Pengasuh mengaku tak salah sebabkan kecederaan bayi

Pengasuh mengaku tak salah sebabkan kecederaan bayi

Tan Gek Chin, 50, didakwa mendedahkan bayi itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dalam kejadian di Taman Pagoh Jaya, 31 Okt lalu.

mahkamah muar
Seorang pengasuh, Tan Gek Chin, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap bayi lelaki berusia 19 bulan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap bayi lelaki berusia 19 bulan di bawah jagaannya, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Tan Gek Chin, 50, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mendedahkan bayi itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Ia berlaku di sebuah rumah di Taman Pagoh Jaya, dengan perbuatan itu dilakukan antara 7 pagi hingga 9 malam, 31 Okt lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, ibu bapa mangsa yang mengambil anaknya mendapati ada kesan lebam di mata kanan serta cedera di kedua-dua telinga.

Siasatan dijalankan dan mendapati mangsa baru sebulan dihantar ke rumah tertuduh yang bertindak sebagai pengasuhnya.

Daripada laporan diterima, tertuduh memberitahu bayi terbabit terjatuh ketika bermain dengan kanak-kanak lain di bawah jagaan wanita itu.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ariff Marzuki mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Gurbinder Singh Gill.

Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.