Runding jawatan ketua PN, ‘poster boy’ PRU16, kata mursyidul am PAS

Runding jawatan ketua PN, ‘poster boy’ PRU16, kata mursyidul am PAS

Hashim Jasin berkata perbincangan untuk membuat keputusan perlu berdasarkan keadaan sebenar dan kekuatan parti masing-masing.

Hashim Jasin n dominic lau
Hashim Jasin berkata keputusan menentukan ketua PN bukan dibuat sebuah parti, merujuk kenyataan Dominic Lau yang mempertahankan kedudukan Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menegaskan pemilihan ketua Perikatan Nasional (PN) yang sekali gus diangkat calon perdana menteri dari komponen itu perlu dirunding untuk menilai semua aspek.

Bercakap kepada FMT, Hashim berkata parti itu bukan mahu berebut jawatan tetapi perbincangan membabitkan semua parti komponen perlu menjadi asas dalam membuat keputusan bukan hanya pihak tertentu sahaja.

Beliau merujuk kenyataan Presiden Gerakan Dominic Lau yang mempertahankan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN dan ‘poster boy’ komponen itu menuju PRU16.

“Saya rasa dia (Gerakan) sahaja menentukan siapa calon PM. Apa yang saya kata perkara ini perlu dirunding bukan ditentukan satu parti sahaja.

“Kena runding dahulu kerana asas perundingan mesti berdasarkan persediaan tertentu, keadaan sebenar dan kekuatan parti masing-masing.

“Runding dahulu, ini satu parti kata orang ini sahaja. Tak betul itu kerana kita dalam satu pakatan,” kata Hashim yang juga bekas Adun Sanglang.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Hashim, PAS lebih layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen dan mempunyai jentera akar umbi kuat.

Menurutnya, PAS juga tiada rekod atau masalah lompat parti berbanding Bersatu yang ketika ini terbukti banyak kepincangan.

Hashim mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu yang dilaporkan berkata Muhyiddin sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri bagi PN pada PRU16.

Selain mempertahankan Muhyiddin, Lau turut menolak kenyataan Hashim yang mengatakan kelayakan untuk menjadi perdana menteri adalah jumlah kerusi Dewan Rakyat dan kekuatan jentera akar umbi.

PAS ketika ini memiliki 43 kerusi Parlimen iaitu terbesar dalam PN berbanding 31 dimenangi Bersatu pada PRU15 namun berkurangan kepada 25 selepas enam wakil rakyatnya menyokong Anwar.

Parti pimpinan Hadi Awang itu juga memerintah Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.