
Dzulkefly berkata walaupun arahan itu memerlukan jururawat bekerja lebih masa tetapi kebajikan mereka lebih terjaga kerana dilaksanakan menerusi waktu kerja syif yang lebih fleksibel.
“Sebenarnya (jururawat) bekerja empat hingga enam hari seminggu di mana tempoh bekerja sehari mestilah tidak kurang daripada lapan jam dan tidak lebih daripada 12 jam.
“Dalam pada itu, selingan itu kita beri satu jam dikatakan tempoh rehat dalam waktu bekerja, satu hingga tiga hari rehat seminggu. Saya kira sangat munasabah dan berwajaran,” katanya menurut Sinar Harian selepas satu majlis di Perak.
Bagaimanapun, Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan sedia menambah baik pelaksanaan waktu kerja tersebut.
Semalam FMT melaporkan beberapa pihak melahirkan kebimbangan mengenai tambahan waktu kerja jururawat di wad hospital itu menyebabkan kakitangan kesihatan tidak mempunyai masa rehat mencukupi selain menambah tekanan yang dihadapi mereka.
Mulai 1 Dis, jururawat yang bekerja secara syif dikehendaki bekerja selama 45 jam seminggu, bertambah daripada 42 jam ketika ini.
Senator RA Lingeshwaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, berkata Tambah masa bekerja ini akan memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan petugas kesihatan.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya, Saaidah Athman pula berkata kebanyakan jururawat adalah wanita yang berkeluarga, dan menambah waktu bekerja akan menyebabkan lebih banyak tekanan.