
Idris Ami, 60, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa, lapor Harian Metro.
Zulfikri turut mengarahkan tambahan hukuman penjara enam bulan terhadap tertuduh jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama Idris yang bekerja sebagai pemandu forklift itu dituduh menyebarkan sesuatu perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak kepada sekumpulan orang yang dikenali sebagai Kumpulan Cahaya.
Ia dengan membenarkan berpelukan walaupun berbeza jantina dan bukan mahram atas dasar kepercayaan bahawa ianya tidak berlaku kesalahan dari sudut syarak kerana perbuatan ini berlandaskan kecintaan hati bukan keinginan jasad dan nafsu.
Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Idris didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki dengan mendakwa dirinya utusan iaitu rasul bagi zaman ini serta mendakwa di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu iaitu Nabi Adam hingga Nabi Muhammad.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kuala Pilah antara Sept hingga Dis 2023, mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Raja Mazelan Raja Deraman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Idris merayu tidak dikenakan hukuman penjara kerana mahu pulang ke negara asal memandangkan masih menanggung anak dan isteri.
Bagaiamanapun, Raja Mazelan berkata kesalahan dilakukan tertuduh amat serius dari segi akidah yang boleh membawa kepada murtad, kufur dan syirik.
Menurut fakta kes, tertuduh didapati aktif menyampaikan dakyahnya melalui beberapa platform media sosial antaranya Facebook dan Telegram dimana ahlinya mencecah 5,000 orang.