KKM rangka ‘super apps’, tawar khidmat kesihatan termasuk pesanan ambulans

KKM rangka ‘super apps’, tawar khidmat kesihatan termasuk pesanan ambulans

Timbalan Menteri Lukanisman Awang Sauni berkata aplikasi itu sesuai di kawasan bandar besar, manakala talian 999 dikekal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Lukanisman Awang Sauni
Lukanisman Awang Sauni, berkata aplikasi ini selaras penggunaan e-hailing yang kerap diguna pakai di kawasan bandar, selain tambah baik aspek pendigitalan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka konsep ‘super apps’ atau aplikasi mudah alih super yang akan menguruskan pelbagai perkhidmatan kesihatan termasuk pesanan ambulans, kata Timbalan Menteri Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi memperkasakan dan menambah baik aspek pendigitalan dalam sistem penjagaan kesihatan.

“Aplikasi ini selaras dengan penggunaan e-hailing yang semakin berkembang dan kerap diguna pakai di kawasan bandar,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKM dan Institut Jantung Negara (IJN) untuk program Cardiovaskular Prevention Continues Medical Education (CME).

Turut hadir, Ketua Setiausaha KKM Suriani Ahmad, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, dan Pengerusi IJN Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, Lukanisman berkata perkhidmatan pesanan ambulans menerusi aplikasi itu mungkin sesuai untuk kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Kuching, manakala talian kecemasan 999 dikekalkan untuk kawasan luar bandar atau pedalaman.

Beliau berkata, penggunaan aplikasi itu akan menambah baik keperluan ambulans bagi sektor awam dan swasta.

“Kami juga akan memastikan penggunaan aplikasi ini tidak akan membebankan pengguna dan jika pengguna minta untuk ke hospital kerajaan, sudah pasti tidak dikenakan sebarang caj,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan mengadakan sesi perbincangan bersama pihak berkepentingan, pemain industri, dan NGO bagi memperhalusi inisiatif itu sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

Sementara itu, Lukanisman berkata MoU berkenaan bakal menyediakan program CME kepada anggota kesihatan di klinik kesihatan dan swasta sebagai sebahagian daripada inisiatif IJN untuk mewujudkan klinik pengurangan risiko kardiovaskular (CRRC) dalam komuniti menerusi peningkatan pengetahuan pakar perubatan keluarga dan pengamal perubatan swasta.

Program itu merupakan latihan berstruktur yang dirancang untuk memenuhi keperluan semasa dalam sistem penjagaan kesihatan primer terutama dalam menangani peningkatan kes penyakit tidak berjangkit seperti dislipidemia, diabetes, hipertensi, dan obesiti.

Kumpulan sasaran program itu terdiri daripada pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pengamal perubatan swasta, pegawai farmasi, jururawat, pegawai dietetik, dan fisioterapi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.