Syabu RM6 juta dirampas di Terengganu

Syabu RM6 juta dirampas di Terengganu

Dadah seberat 200kg ditinggalkan dalam MPV mewah ketika suspek cuba melarikan diri.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin, berkata penemuan dadah itu merupakan rampasan terbesar di tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas 200kg dadah jenis syabu bernilai hampir RM6 juta dijumpai dalam kenderaan Toyota Vellfire di tepi jalan di Kampung Guntong Luar.

Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin, berkata suspek meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan berkenaan selepas terbabas, dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada polis, pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, terdahulu cawangan Unit Kereta Peronda IPD Setiu menerima maklumat mengenai sebuah Toyota Vellfire disyaki membawa dadah melalui jalan persekutuan dari Kelantan ke arah Kuala Terengganu.

“Kenderaan berkenaan kemudian dikesan di Kampung Bintang di sini dan polis mengekorinya sejauh lima kilometer, namun akibat aliran trafik yang padat suspek dapat menghilangkan diri,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPD Setiu, Bandar Permaisuri.

Khairi berkata, akhirnya kenderaan itu ditemukan terbabas di jalan kecil di Kampung Guntong, dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan guni putih disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

Beliau berkata, pihaknya giat mengesan suspek yang dipercayai lebih daripada seorang, dan semakan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dadah berkenaan disyaki dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran Lembah Klang.

“Pada hari kejadian, polis telah menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) untuk mengesan suspek namun gagal, dan sampel cap jari pada kenderaan telah diambil bagi siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, kes berkenaan membabitkan rampasan dadah terbesar di Terengganu tahun ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.