Simpan SSPN terima deposit lebih sasaran RM256 juta

Simpan SSPN terima deposit lebih sasaran RM256 juta

Jumlah itu melepasi sasaran awal RM220 juta sempena Bulan Menabung SSPN (BMS) 2024 bermula 26 Sept hingga 31 Okt lalu.

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, berkata ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan demi pendidikan tinggi anak-anak.
PETALING JAYA:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) catat terimaan deposit RM256.18 juta, berbanding sasaran awal RM220 juta sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024.

Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim, berkata pencapaian itu mencerminkan kesedaran semakin tinggi mengenai kepentingan menabung demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

Beliau berkata, berdasarkan kejayaan tersebut jelas menunjukkan setiap usaha dan strategi dirangka mendapat sokongan padu masyarakat.

“Hal ini membuktikan ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak dalam melahirkan generasi modal insan yang berkualiti tinggi.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia di atas komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam membudayakan sikap menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Norliza berkata, PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat menabung dalam Simpan SSPN bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi terjamin, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan.

Sementara itu, PTPTN berkata, BMS 2024 menerusi penganjuran kali ketujuh yang berlangsung dari 26 Sept hingga 31 Okt merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan dipelopori badan itu sejak 2018, bertujuan memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira kepada anak-anak menerusi perancangan kewangan.

Sehubungan itu, Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan, dan patuh syariah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.