Harapan tinggi, cabaran besar buat Adam Adli di KPT

Harapan tinggi, cabaran besar buat Adam Adli di KPT

Dia diharapkan untuk melakukan pembaharuan yang pernah didokongnya sebagai aktivis pelajar dan tidak boleh menggunakan alasan dia hanya seorang timbalan menteri.

Adam Adli
Daripada seorang aktivis pelajar hingga menjadi timbalan menteri pendidikan tinggi, Adam Adli dari PKR memikul beban harapan di bahunya.
PETALING JAYA:
Bekas aktivis pelajar Adam Adli berdepan cabaran besar sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi sambil mempelajari selok-belok dunia politik, kata seorang penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, harapan tinggi diletakkan ke atas Adam memandangkan pendirian beliau sebelum ini yang menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Fauzi dan Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menolak pandangan bahawa kumpulan masyarakat sivil tidak perlu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap Adam hanya kerana beliau sekadar timbalan menteri.

Menurut mereka, harapan seperti itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab memegang jawatan kerajaan, termasuk jawatan timbalan menteri dan juga akan menguji keazaman serta prinsip seseorang ahli politik.

Fauzi berkata kepada FMT: “Aktivis politik biasanya memulakan perjuangan mereka ketika muda, pada usia yang penuh idealisme. Adam sedang mempelajari selok-belok menjadi seorang ahli politik, malangnya dengan cara yang sukar dan pahit.”

“Secara keseluruhan, ia baik untuk perkembangan kematangan Adam sebagai seorang ahli politik. Anwar Ibrahim juga melalui laluan yang hampir sama sebagai pemimpin pelajar, aktivis belia, ketua NGO — dan lihatlah beliau sekarang. Jadi dalam jangka panjang, Adam tidak rugi apa-apa,” tambah Fauzi.

Lau menolak pandangan bahawa Adam tidak boleh diharapkan untuk memulakan banyak perubahan kerana beliau hanyalah timbalan menteri, manakala keputusan dasar utama dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri.

“Jika begitu keadaannya, lebih baik dia tidak berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi kerana apa gunanya?” katanya.

Beliau berkata seorang timbalan menteri terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah ‘agak berjaya’ melaksanakan pembaharuan seperti meminda undang-undang bagi membenarkan pelajar terlibat dalam politik. (Saifuddin ialah timbalan menteri pengajian tinggi dari April 2009 hingga Mei 2013.)

Lau berkata adalah munasabah bagi masyarakat sivil, khususnya kumpulan pelajar universiti untuk mengharapkan Adam menunaikan pembaharuan yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.

Semasa menjadi aktivis, Adam secara konsisten menentang AUKU dan memperjuangkan sistem pendidikan tinggi yang lebih demokratik. Kegiatannya sebagai aktivis menyebabkan beliau beberapa kali ditangkap dan didakwa atas tuduhan hasutan, namun kemudiannya dibebaskan.

Dalam rombakan Kabinet pada Selasa, beliau dipindahkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menggantikan Mustapha Sakmud yang dinaikkan pangkat sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak.

Persatuan Mahasiswa Baru Universiti Malaya menggesa Adam, yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, supaya mengambil langkah tegas untuk mendorong pembaharuan yang pernah diperjuangkannya sebagai aktivis.

Perbezaan ketara dengan Zambry

Fauzi berkata Adam sangat berbeza dengan menterinya, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir, yang disifatkannya sebagai seorang ‘tokoh berprofil tinggi’ dari segi kelayakan akademik di atas kertas.

Bagaimanapun, katanya, Adam tidak boleh sekadar kekal sebagai timbalan kepada Zambry dan melepaskan tanggungjawab kepada pemimpin Umno itu atas sebarang kekurangan pembaharuan dalam sektor pendidikan tinggi.

Beliau mencadangkan agar Adam menggunakan usia muda dan daya tarikannya untuk meyakinkan Zambry dan Anwar mengenai keperluan pembaharuan dalam sektor tersebut.

“Jika Adam merasakan beliau tidak boleh melakukan apa-apa sebagai timbalan menteri pendidikan tinggi, lebih baik beliau menolak jawatan itu atau jika beliau tidak dirujuk lebih awal oleh perdana menteri, letak jawatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.