
Rohaya Jaafar, 42, selaku pendeposit Simpan SSPN Plus dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful berjumlah RM50,000 dan khairat kematian berjumlah RM2,800; dengan komitmen bulanan sebanyak RM30 bagi akaun dibuka bawah Pakej Intan untuk tiga anaknya dan RM10 untuk caruman takaful.
Justeru surirumahtangga itu mempunyai simpanan yang melayakkan beliau menerima manfaat perlindungan takaful iaitu sebanyak RM150,000 dan khairat kematian sebanyak RM8,400.
Ketua Eksekutif Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid berharap penyerahan manfaat takaful dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit.
“Di sebalik peranan Simpan SSPN sebagai simpanan pendidikan, perlindungan takaful yang disediakan juga merupakan satu bentuk jaminan dan sokongan kepada pendeposit serta keluarga yang ditinggalkan.
“Kami di PTPTN sentiasa komited untuk memastikan kebajikan waris pendeposit terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan.
Manfaat perlindungan takaful itu diserahkan Ahmad Dasuki ketika kunjungan ke kediaman waris di Gua Musang, Kelantan semalam. Hadir sama, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Chiku 3, Ahmad Ibadullah Samsudin; Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, Azman Husain; dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan Hamdan Razali.
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim turut mengadakan video call bersama waris pendeposit semasa Program Ziarah Kasih tersebut diadakan.
PTPTN menyediakan dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.
Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara ‘ringgit ke ringgit’ kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian atau ilat kekal menyeluruh.
Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif, dengan komitmen bulanan serendah RM30 sebulan iaitu hanya RM1 sehari sahaja.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.