
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Zulkarnain Mahdar, berkata laporan itu dibuat kerana pemberi maklumat terbabit sehingga kini gagal membuat aduan rasmi kepada agensi antirasuah sebaliknya menyebarkan maklumat kepada umum.
Beliau menjelaskan, individu terbabit sepatutnya disiasat kerana gagal membuat aduan rasmi bagi membolehkan SPRM menyiasat dakwaan dilemparkannya.
“Kita buat laporan ini bukan bermakna nak mempertahankan mereka dituduh dalam video tersebar itu, isi kandungan dan dakwaan itu biar SPRM siasat.
“Tetapi mahu pemberi maklumat ini tampil, mengikut Akta SPRM menjadi satu kesalahan jika tidak melaporkan amalan rasuah,” katanya selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan ada lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai rasuah untuk lesen projek.
Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya bersedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pemberi maklumat perlu memfailkan aduan rasmi terlebih dahulu.
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, dilaporkan berkata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan meminta SPRM menyiasat kes itu.
Jelasnya, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah akan membantu siasatan pihak berkuasa.