Adun Sabah bincang rasuah: Zahid sokong tindakan Hajiji tak campur tangan

Adun Sabah bincang rasuah: Zahid sokong tindakan Hajiji tak campur tangan

Pengerusi BN berkata pendirian ketua menteri Sabah harus menjadi pegangan kepada pemimpin lain.

Ahmad Zahid Hamidi Hajiji Noor
Pengerusi BN Zahid Hamidi menyokong pendirian Ketua Menteri Hajiji Noor menyerahkan siasatan membabitkan Adun Sabah kepada pihak berkuasa.
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi menyokong pendirian Ketua Menteri Hajiji Noor menyerahkan siasatan kes Adun Sabah didakwa membincangkan rasuah lesen projek kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, setelah meneliti laporan media tentang rakaman perbualan Adun terbabit, beliau berpendapat, pendirian Hajiji harus menjadi pegangan kepada pemimpin lain.

“Sebagaimana kita ketahui, PRN Sabah akan berlangsung sebelum berakhir penggal pada Oktober 2025, (jadi) kita harus jangkakan apa juga (boleh) berlaku, bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Sinar Harian.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, beliau berharap siasatan kes ini tidak akan mengganggu sesi perbahasan belanjawan negeri, yang dibentangkan hari ini, serta PRN.

Pada Selasa, Hajiji dilaporkan berkata, beliau tiada perkara untuk disembunyikan berhubung kes membabitkan Adun tersebut, malah pihaknya akan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, individu terbabit meminta jaminan SPRM bahawa beliau tidak akan disiasat sebelum memberikan keterangan.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya tidak boleh memberikan jaminan imuniti secara bertulis tanpa maklumat terperinci mengenai dakwaan kelakuan tidak wajar itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dilaporkan berkata, pemberi maklumat tidak boleh mengharapkan perlindungan jika terlibat dengan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.