Daim Zainuddin meninggal dunia

Daim Zainuddin meninggal dunia

Bekas menteri kewangan itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Assunta pagi tadi.

daim
Daim Zainuddin pernah menjawat jawatan menteri kewangan dari 1984 hingga 1991, dan kali kedua pada 1999 hingga 2001.
PETALING JAYA:
Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Assunta pada usia 86 tahun.

Keluarga Daim dalam kenyataan berkata bekas bendahari agung Umno itu meninggal dunia pada 8.21 pagi tadi.

“Dengan perasaan sedih dan penuh dukacita kami ingin memaklumkan Daim Zainuddin telah pulang ke Rahmatullah pada pagi ini, jam 8.21 pagi di Hospital Assunta.

“Butiran solat jenazah dan lain-lain akan dimaklumkan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, peguam Daim, Gurdial Singh Nijar memberitahu FMT jenazah akan dikebumikan hari ini.

Daim berkhidmat sebagai menteri kewangan sebanyak dua kali. Pertama pada 1984 hingga 1991 bawah pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mana beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.

Awal tahun ini, Daim dan isteri Naimah Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau dituduh tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Bulan lalu, Mahkamah Sesyen mengarahkan Daim hadir pada perbicaraan yang diteruskan untuk menentukan sama ada beliau perlu menjalani penilaian mental bagi memastikannya layak untuk dibicarakan.

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh 20 Nov ini untuk mendengar hujah tambahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.